BM | EN | 中文

Pelbagai langkah perlu diambil untuk kembalikan kegemilangan sepak takraw negara – GASTAK

sepak-takraw-copy.jpg

Gambar Ehsan The Culture Trip

Advertisement

KOTA BHARU: Bagi mengembalikan semula kegemilangan sepak takraw negara, semua pihak terlibat perlu menyusun semula langkah dan membentuk pentadbiran atau sebuah entiti yang mampu membawa perubahan.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) Zuraidin Abdullah berkata pihaknya melihat perkara itu perlu dilakukan selepas beberapa persatuan sepak takraw negeri menarik diri daripada Persatuan Sepak Takraw (PSM) susulan digantung sementara oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

“Ia perlu dibentuk dengan kerjasama pelbagai pihak dengan hala tuju serta visi dan misi yang jelas berikutan wujud kelemahan-kelemahan ketara menyebabkan kami dan persatuan lain hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PSM.

Advertisement

“Saya telah berbincang bersama rakan-rakan, kita akan berusaha sedaya upaya untuk membangunkan semula sukan sepak takraw ini dalam mengembalikan Malaysia sebagai kuasa utama sepak takraw di dunia,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini, empat persatuan iaitu GASTAK, Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor (PSTJ), Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (Pestak) mengumumkan menarik diri daripada PSM selepas ASTAF menggantung sementara PSM daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan berkuat kuasa 28 April lepas.

Mengulas lanjut, Zuraidin berkata hasil perbincangan pihaknya bersama kesemua pihak persatuan yang menarik diri itu, mereka telah sepakat akan merangka pelbagai program sekiranya diberikan peluang untuk menerajui pengurusan sukan itu.

Advertisement

Beliau berkata antaranya adalah memastikan persediaan pasukan kebangsaan lebih mantap dan berkesan dengan melibatkan pemilihan pemain lebih telus dan menyeluruh, pelantikan jurulatih berwibawa, penyediaan kemudahan lengkap serta penggunaan khidmat sokongan sains serta perubatan sukan terkini yang disediakan Institut Sukan Negara (ISN).

“Perbincangan akan dilakukan dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga agar sepak takraw dapat diterima semula sebagai sukan teras. Peranan yang lebih aktif akan diambil dalam memastikan kejayaan program ini kelak,” katanya.

Beliau berkata bagi menjayakan setiap program yang dirangka itu satu pelan tindakan (blueprint) jangka panjang juga akan disediakan dalam memastikan hala tuju sukan sepak takraw untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.

Advertisement

“Perkara lain yang dipersetujui bersama antaranya adalah untuk memiliki pejabat pengurusan dan tempat latihan formal selain di Majlis Sukan Negeri dan mengharapkan Stadium Titiwangsa sebagai pusat aktiviti persatuan,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top