PASIR GUDANG, 16 FEB: Pelantikan kontraktor di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) secara undian membuktikan kerajaan negeri telus dan terbuka.
Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pelantikan secara undian ini dibuat bagi memastikan proses pelantikan kontraktor dapat disempurnakan secara terbuka dan telus.
“Pelantikan kontraktor-kontraktor melalui peruntukan MARRIS ini juga dilantik melalui proses sebut harga dan tender.
“Kaedah pemilihan ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk memurnikan tatacara kelolaan pemberian projek-projek kerajaan melalui tender terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Undi Berkelompok MARRIS Fasa 1 Negeri Johor Peringkat Daerah Negeri Johor di Menara Aqabah, di sini hari ini.
Menurut Dr Sahruddin, terdapat sebanyak 130 projek kerajaan negeri dengan nilai RM6.5 juta bagi fasa ini.
“Bagi fasa 1 ini, tiga projek penyelenggaraan dikelolakan Pejabat Daerah Johor Bahru, 49 projek dikelolakan Majlis Bandaraya Johor Bahru, 38 projek di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan 40 projek di bawah Majlis Perbandaran Pasir Gudang,” ujarnya.
Johorkini