LEDANG, 9 OKT: Pelantikan Danesh Raj Nagarajan sebagai ahli lembaga Pengarah Universiti Malaysia (UM) dilihat mencemarkan intergriti universiti dalam negara.
Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Asim Abdullah dalam kenyataannya berkata, bahawa tindakan melantik Danesh Raj itu sebagai suatu langkah terkebelakang dalam membebaskan universiti dari pengaruh politik.
Beliau ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya kecewa dengan tindakan kerajaan yang mengamalkan amalan kronisme dalam pelantikan tersebut.
“Ini suatu tindakan yang dilihat langkah memilih bulu atau kronisme yang ketara apabila melantik mereka di kalangan pro politik kerajaan semata.
“Ia mencemarkan integriti universiti yang sepatutnya bebas dari sebarang pengaruh politik yang akan merosakkan pentadbiran sesuatu universiti.
“Tidak seharusnya perkara sebegini dibiarkan dan tidak dipandang serius oleh kerajaan. Kerajaan seharusnya memikirkan soal kemajuan sesuatu universiti bukan sibuk dengan meletakkan kroni mereka dalam menguruskan universiti,” katanya.
Terdahulu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) turut mempertikaikan pelantikan Danesh Raj sebagai ahli lembaga pengarah universiti berkenaan.
Kesatuan itu mempersoalkan kelayakan Danesh serta kriteria yang diguna pakai universiti untuk pelantikan berkenaan.
Meskipun mengalu-alukan pelantikan pemimpin muda dalam lembaga itu, KMUM mempertikaikan penglibatan politik Danesh, sedangkan katanya, universiti harus bebas daripada pengaruh dan cengkaman politik.
KMUM turut mempersoalkan mengapa bukan seseorang daripada latar belakang korporat, perundangan atau warganegara lain yang dilantik.
Sebelum ini Universiti Malaya (UM) mengumumkan pelantikan Danesh pada Isnin (4 Okt) selama tiga tahun untuk penggal yang akan tamat pada 3 Okt 2024.
Johorkini