SEGAMAT, 4 DIS: Penglibatan segenap lapisan masyarakat dalam aktiviti bagi mengeratkan perpaduan adalah penting bagi memperkasakan peranan komuniti dari aspek pembangunan sosioekonomi.
Adun Jementah, Tan Chen Choon berkata, selaras konsep ‘Johor Madani and Akta Kerajaan Tempatan’, beliau menyeru kerajaan Johor agar lebih inklusif dengan melantik barisan ahli majlis dari pelbagai kaum dan profesion dengan jumlah yang sewajarnya.
Ia katanya, bagi menunjukkan pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memang berkehendakkan aspek Perpaduan Kaum dan Komuniti di bawah konsep Johor Madani dicapai.
Tan memetik laporan media yang tidak dinamakan bahawa hanya tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) yang mempunyai dua orang lantikan ahli majlis berbangsa Cina.
Manakala seorang lantikan ahli majlis berbangsa Cina di PBT yang lain untuk berkhidmat kepada komuniti.
Menurut beliau, dengan pengiraan jumlah ahli majlis kaum India yang telah dilantik setakat ini, setiap PBT sedia ada hanya diwakili oleh seorang ahli majlis berbangsa India.
“Persoalannya, apakah sebab terdapat penurunan perlantikan ahli majlis?
“Kedua, mengapakah perlantikan 229 orang Ahli Majlis buat masa ini tidak mencerminkan kepelbagaian kaum agar PBT dapat memainkan fungsi dan objektifnya dengan efektifnya untuk komuniti tempatannya?
“Ketiga, apakah kaum Cina, India dan orang Asli kurang minat untuk terlibat di dalam PBT atau mereka tidak dapat memenuhi kelayakan yang ditetapkan oleh PBT untuk dilantik? kata Tan dalam satu kenyataan semalam.
Tan menjelaskan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) 369 ahli majlis dilantik yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum dari komuniti tempatan.
Ia terdiri daripada 219 orang Melayu, Cina (116), India (3 ) dan Orang Asli (1)
Namun katanya ketika ini hanya 229 orang ahli majlis dilantik di bawah keseluruhan 16 PBT setelah sembilan bulan kerajaan PN mengambilalih pimpinan kerajaan negeri.
Menurut Tam, pecahan terkini ahli majlis PBT di Johor adalah Melayu (194), Cina (19) dan India (16).
Justeru itu katanya, pelantikan ahli majlis secukupnya adalah sama penting agar penduduk setempat dapat mengakses kepada wakil dari komuniti mereka untuk segala urusan di bawah PBT masing-masing.
“Tambahan, keberkesanan mengenalpasti dan mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai oleh Majlis Perbandaran, Majlis Daerah dan Majlis Bandaraya dapat dipertingkatkan,” ujarnya lagi.
Johorkini