ISKANDAR PUTERI, 30 NOV: Negara Indonesia merupakan pasaran kedua terpenting selepas Singapura bagi industri pelancongan di negeri Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, kedatangan pelancong Indonesia, terutamanya dari Kepulauan Riau meningkat saban tahun.
“Tidak dapat dinafikan bahawa pasaran Indonesia merupakan pasaran kedua terpenting selepas Singapura bagi industri pelancongan negeri Johor.
“Statistik kemasukan pelancong dari Indonesia termasuk Kepulauan Riau sama ada melalui pintu masuk laut dan udara ke negeri Johor menunjukkan peningkatan sebanyak tujuh peratus,” kata Cai Tung.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Johor 2020 di Kota Iskandar, kelmarin.
Tambah Cai Tung, kedatangan pelancong dari Indonesia berjumlah 814,034 orang pada 2018 kepada 872,488 orang sehingga Ogos 2019, menunjukkan peningkatan seramai 58,454 orang.
Katanya, bagi memberi impak promosi Tahun Melawat Johor 2020 (TMJ 2020) bagi pasaran Indonesia, Tourism Johor dan Malaysia-Indonesia bekerjasama dengan peneraju inudstri merangkumi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor dan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).
Ia melalui program ‘Buyer & Seller Meet’ dengan pemegang taruh dan agensi pelancongan Indonesia, sesi diskusi dan pembentangan produk mengenai kepelbagaian ikon pelancongan Johor dengan agensi-agensi pelancongan di Indonesia.
Dalam pada itu, promosi TMJ 2020 turut diadakan melalui penyertaan di Malaysia Fair 2019, Tokyo Jepun, Travel Mart di Shenzhen dan Guangzhou China.
Kerajaan negeri turut memperhebatkan hebahan aktiviti, program dan promosi TMJ 2020 melalui kerjasama strategik dengan pihak Air Asia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan sektor swasta bagi program pengiklanan.
Orang ramai turut dipelawa untuk melawat Facebook Tourism Johor bagi mengikuti usaha galakan selain berpeluang untuk menyertai program bagi mempromosi Tahun Melawat Johor 2020.
Johorkini