PELANCONG DATANG JOHOR MENINGKAT
Cai Tung (tengah) bergambar ahli Rehda Youth

PELANCONG DATANG JOHOR MENINGKAT

JOHOR BAHRU, 8 NOV: Kehadiran pelancong ke negeri ini telah merekodkan pertumbuhan 6.58 peratus bagi lapan bulan pertama tahun ini, dimana seramai 11.03 juta pelancong berbanding 10.28 juta pada tempoh yang sama, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, kehadiran pelancong yang menginap sekurang-kurangnya satu malam di negeri ini turut merekodkan peningkatan.

“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Tourism Malaysia, Johor juga telah merekodkan penumbuhan 3.54 peratus bagi Januari hingga Mac tahun ini, untuk pelancong yang menginap di hotel di sini.

“Peningkatan ini adalah berikutan dengan usaha berterusan kerajaan negeri mempromosikan Johor kepada pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Belia (Rehda Youth) di KSL Hotel & Resort, di sini.

Pada majlis tersebut, Cai Tung sempat mengucapkan terima kasih kepada persatuan tersebut kerana memilih negeri Johor sebagai destinasi untuk menganjurkan program lawatan sambil belajar yang diadakan pada 7 dan 8 November.

“Saya difahamkan deligasi ini telah melawat beberapa lokasi di Johor termasuklah Think City, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Menara JLand, Sunway Iskandar, The Astaka dan Forest City di Gelang Patah.

“Pemaju hartanah memainkan peranan penting dalam pembangunan Johor dimana selain membantu untuk membangunkan bandar, mereka juga akan meningkatkan promosi destinasi pelancongan,” katanya.

Adun Johor Jaya itu turut berharap agar deligasi tersebut akan meluangkan masa untuk melawat Desaru Coast pada masa akan datang kerana ia merupakan produk pelancongan terbaru di Johor.

“Selain daripada itu, tarikan terbaru di Johor Bahru termasuklah “B5 Street Market” dimana ia dijangka akan muka beroperasi hujung bulan ini.

“B5 Street Market ini akan mempamerkan keunikan negeri Johor melalui produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan, sekaligus akan menjadi tempat menjual cenderahati di negeri ini,” katanya lagi.

JohorKini

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )