KULAI, 21 SEPT: Kerajaan negeri akan merangka pelan tindakan dibawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar bagi menangi isu pencemaran di sungai Skudai di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, pelan tersebut akan berfungsi untuk memulihara keadaan air berikutan daripada bacaan paras ammonia yang tinggi.
“Aliran sungai Skudai ini adalah dibawah kawasan pentadbiran tiga pihak berkuasa tempatan termasuklah Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
“Makluman awal menunjukkan pihak MBIP telah pun mengadakan satu Rancangan Kawasan Khas (RKK) untuk menangani isu ini.
“Jadi, saya berharap ketiga-tiga PBT ini akan mengadakan satu perbincangan untuk menjalankan RKK ini bersama,” katanya kepada wartawan selepas mengadakan lawatan tapak di sungai berkenaan, di sini, hari ini.
Lawatan yang turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perikanan serta beberapa jabatan dan agensi berkaitan itu turut memantau kadar ammonia dan nilai Oksigen Terlarut (DO) di sungai tersebut.

Antara aliran yang terkesan dengan pencemaran air di Sungai Skudai
Chen Choon berkata, pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa kerana selain daripada mengelakkan pengancaman kepada kehidupan akuatik, perairan sungai ini juga merupakan sumber air kepada Loji Rawatan Air di sini.
“Walaupun situasi hari ini sudah beransuh pulih, tetapi usaha untuk pemuliharan kualiti air di sini akan terus dilakukan,” katanya lagi.
Fenomena buih tebal yang berlaku di beberapa perimeter Sungai Skudai di sini telah dikesan oleh pihak berkuasa sejak semalam.
Cuaca kering dan panas telah mengakibatkan paras ammonia meningkat sekaligus telah turunkan nilai DO di air sungai berkenaan.
Johorkini