BM | EN | 中文

Pelajar SMK Tun Habab cipta pendingin hawa “Peltz ” mudah alih tanpa gas

Pelajar-SMK-Tun-Habab-cipta-pendingin-hawa-Peltz-mudah-alih-tanpa-gas.jpg
Advertisement

KOTA TINGGI, 5 OGOS: Kreatif dan inovatif, itu yang boleh digambarkan mengenai projek rekacipta sekumpulan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, di sini, yang berjaya menghasilkan pendingin hawa mudah alih “Peltz” tanpa menggunakan sebarang gas bahan pendingin.

Dipilih sebagai finalis bagi mewakili negeri Johor dalam pertandingan reka cipta Yayasan Petronas Sentuhan Harapan – All About Youth (AAY) 2019 peringkat kebangsaan minggu hadapan, 20 pelajar aliran sains tulen dan sains komputer dengan bantuan enam guru bimbingan sekolah berkenaan berjaya menghasilkan “Peltz” dalam masa hanya tiga bulan.

Pendingin hawa tersebut yang mampu mencapai suhu 18 sehingga 20 darjah celsius dihasilkan dengan menggunakan komponen “peltier” dan “ air cooling” yang kebiasaannya digunakan untuk menurunkan haba komputer.

Advertisement

Menurut guru bimbingan projek inovasi itu, Mohd Nor Akmal Salleh, pelajarnya juga berjaya membangunkan sebuah aplikasi telefon pintar “Peltz” dalam masa dua jam sehaja bagi mengaktifkan pendingin hawa berkenaan dengan hanya menggunakan suara (voice command) dan sensor.

“Peltz dikomersialkan daripada perkataan “Peltier” iaitu komponen utama yang digunakan dalam penghasilan pendingin hawa ini.

“Uniknya produk ini tidak ada gas dan menggunakan peltier sepenuhnya bersama dua sistem penyejukan iaitu water cooling dan air cooling, itu prinsip yang mereka terapkan semasa belajar di dalam kelas.

Advertisement

“Maka terhasil produk “Peltz tersebut,” katanya yang menjelaskan keseluruhan idea reka cipta adalah daripada pelajar-pelajarnya ketika satu temuramah bersama Bernama di sekolah berkenaan, di sini, kelmarin.

Mohd Nor Akmal berkata pelajar-pelajarnya juga hanya mempunyai pengetahuan asas dalam pengaturcaraan dan bagi projek berkenaan pelajar harus belajar melalui bantuan laman sesawang Google, YouTube serta khidmat nasihat guru dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membangunkan aplikasi Peltz dan sebagainya.

“Projek ini dihasilkan oleh pelajar sepenuhnya, mereka juga yang melakukan pendawaian, pengaturcaraan, design, pengekodan selain mencari alternatif dan dana lebih daripada pelbagai pihak walaupun Petronas memberi geran sebanyak RM1,000 dan membekalkan komponen pengawal mikro “studuino” yang harus digunakan dalam projek ini,” katanya.

Advertisement

SMK Tun Habab bakal berentap dengan empat buah sekolah lain dalam pertandingan akhir reka cipta AAY 2019 peringkat kebangsaan yang bertemakan “Mengurangkan Pelepasan Karbon Demi Masa Depan Yang Lebih Baik” pada 6 Ogos ini di Melaka International Trade Centre.

Pemenang pertandingan itu bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000.

Sementara itu, ketua projek Muhammad Amir Hariz Mashuri, 16, berkata kumpulannya yang diberi nama “Glorious Estrella” berharap agar reka cipta mereka dapat dipatenkan pada masa hadapan.

Advertisement

Selain itu, dia berhasrat agar sebuah studio inovasi dapat diadakan di sekolahnya jika sekolah itu terpilih menjadi pemenang AAY 2019 peringkat kebangsaan Selasa depan.

“Dengan studio inovasi itu lebih ramai lagi pelajar dapat menyerlahkan bakat masing-masing dalam reka cipta dan sebagainya.

“Kami juga berharap agar lebih banyak lagi peralatan dan kemudahan diberikan kepada setiap sekolah supaya pembelajaran pelajar seiring dengan revolusi industri 4.0,” katanya.

Advertisement

Manakala, Teo Jun Jet, 14, yang berperanan dalam pengekodan berkata kumpulannya itu turut berharap agar ada pihak yang berminat untuk mengkomersialkan pendingin hawa tersebut,

“Apa yang kami perlukan adalah sedikit masa untuk memperkemaskan lagi reka cipta kami. Sekiranya ada syarikat yang berminat, kami sedia untuk bekerjasama memandangkan pendingin hawa ini tidak mengeluarkan gas karbon, jadi ia sekaligus dapat mengurangkan pengeluaran gas berkenaan untuk memelihara alam sekitar,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top