BM | EN | 中文

Pelajar sekolah asrama, kolej vokasional di kawasan PKPD tak dibenar pulang raya

pelajar-sekolah-covid-19-facemask.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR, 29 APR: Pelajar asrama sekolah dan Kolej Vokasional (KV) di bawah Kementerian Pendidikan yang berada di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti perayaan Aidilfitri.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor pendidikan untuk PKPD juga menetapkan tiada individu dari sekolah dan KV dibenarkan keluar atau masuk ke/dari kawasan terlibat.

“Tiada tetamu dan pelawat luar dibenarkan masuk dalam tempoh PKPD berkuat kuasa. Semua aktiviti persekolahan secara fizikal dan kokurikulum adalah ditangguhkan sepanjang PKPD,” demikian menurut SOP sektor pendididikan yang dikongsikan MKN di laman Telegram rasminya.

Advertisement

Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, pergerakan adalah dibenarkan dengan syarat perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis selain wakil keluarga boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD)

Selain itu, sumbangan bantuan oleh NGO sepanjang tempoh PKPD hendaklah melalui JPBD yang juga bertanggungjawab untuk menyelaras pemberian bantuan bekalan makanan.

Mengenai SOP bagi kawasan atau negeri dikenakan PKP, PKP bersyarat (PKPB) serta PKP pemulihan (PKPP), MKN memaklumkan sekolah perlu menyediakan jadual pergerakan pelajar untuk pulang ke rumah dan kembali semula ke asrama.

Advertisement

Semua pelajar bagi negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dibenarkan pulang secara berperingkat mulai 6 Mei dan kembali ke asrama pada 12 Jun manakala pelajar untuk negeri Kumpulan B (Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dibenarkan pulang mulai 7 Mei dan kembali pada 13 Jun.

Bagi tujuan pergerakan pelajar, MKN menetapkan agar kenderaan sekolah atau sewa khas perlu disediakan sekiranya terdapat lebih 10 orang yang perlu merentas negeri atau zon bagi Sabah dan Sarawak manakala kenderaan sendiri hanya boleh digunakan bagi pelajar yang tidak perlu merentas negeri dan terdapat 10 orang atau kurang yang perlu merentas negeri atau zon di Sabah dan Sarawak.

“Sekolah perlu menetapkan lokasi bagi menurunkan/mengambil murid di setiap negeri. Ibu bapa/penjaga boleh menjemput anak/anak jagaan di lokasi yang telah ditetapkan,” menurut SOP itu.

Advertisement

SOP itu juga menetapkan ibu bapa/penjaga di Sabah dan Sarawak yang mempunyai anak bersekolah di Labuan boleh mengambil dan menghantar pulang anak/anak jagaan di lokasi ditetapkan sahaja.

Bagi tujuan pengurusan kesihatan, semua pelajar perlu menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki kenderaan yang disediakan oleh sekolah dan telah disanitasi, sentiasa memakai pelitup muka dan mematuhi SOP ditetapkan sepanjang perjalanan.

Selain itu, pelajar yang sihat sahaja dibenarkan kembali ke asrama dengan syarat mereka dan ahli keluarga yang tinggal serumah tidak dalam tempoh kuarantin atau merupakan kontak rapat individu positif Covid-19 dan perlu mengemukakan borang pengisytiharan kesihatan.

Advertisement

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin pada 26 April lepas mengumumkan sesi pembelajaran selepas cuti hari Aidilfitri akan diteruskan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei hingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei hingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top