BM | EN | 中文

Pelajar baru dari kalangan B40 terima bantuan data internet – UTM

Universiti-Teknologi-Malaysia-UTM.jpg

Gambar Ehsan UTM

Advertisement

JOHOR BAHRU, 7 OKT: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan data internet kepada pelajar baharunya, sebagai usaha membantu golongan berkenaan yang terpaksa meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian, ekoran peningkatan kes COVID-19.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM Prof. Dr Durrishah Idrus berkata, bantuan internet berkenaan diberikan kepada pelajar-pelajar dalam kalangan B40 bagi sesi pembelajaran semester 1 2020/2021, yang terkesan dengan pandemik berkenaan, sehingga mengakibatkan sesi pendaftaran dan pembelajaran secara fizikal ditangguhkan.

Beliau berkata pelan data sebanyak 10 gigabit kuota data sebulan diberikan dengan akses tanpa had ke laman web dan aplikasi yang telah ditetapkan, seperti zoom, cisco webex dan UTM elearning, dan boleh digunakan selama dua bulan.

Advertisement

“Bantuan internet untuk pelajar B40 UTM ini diperuntukkan kepada lebih 6,500 pelajar dan hanya yang benar-benar layak berdasarkan permohonan sahaja, akan diberi kemudahan ini.

“Pelan data ini telah diagihkan bermula Jun 2020 iaitu fasa satu hingga tiga dan sehingga kini telah membantu 2,500 orang pelajar dan kini sedang memasuki fasa keempat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya selain bantuan internet, UTM menerusi inisiatif UTM Prihatin turut memberikan pelbagai bantuan melalui unit wakaf, unit zakat, endowmen dan alumni seperti bantuan kewangan dan komputer riba, kepada pelajar yang memerlukan.

Advertisement

Sementara itu Durrishah berkata, pihaknya mengambil langkah menjalankan pendaftaran pelajar baharu dan pendaftaran semula pelajar universiti berkenaan secara dalam talian, bagi semester baharu susulan kenyataan penangguhan sesi kemasukkan pelajar secara fizikal oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Jumaat lepas.

Menurutnya, seramai 8,177 pelajar UTM merangkumi Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana, Ijazah Doktor Falsafah, dijadualkan mendaftar pengajian secara dalam talian bermula 10 hingga 13 Okt depan.

“Pelajar-pelajar hanya perlu mendaftar dan mengikuti kursus secara dalam talian dan tidak perlu hadir ke kampus, manakala Minggu Mesra Mahasiswa yang dijadualkan pada 11 hingga 14 Okt depan kepada pelajar baharu, juga dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata pihaknya sentiasa bersedia dan mengambil langkah terbaik bagi memastikan keperluan pelajar diutamakan, dalam menangani situasi pandemik COVID-19.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top