BM | EN | 中文

Pelabuhan Darat Segamat dilihat lesu, tak berdaya saing

Adun-Kemelah-Dr-Sulaiman-Mohd-Nor-1.jpg

SEGAMAT, 31 OGOS: Kawasan Perindustrian 2 Pelabuhan Darat Segamat boleh dikatakan sebuah tapak industri yang lesu kerana masih tidak dibangunkan sepenuhnya.

Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor berkata, kapasiti Pelabuhan Darat Segamat yang boleh menampung banyak industri termasuk dari pelabur luar negara, namun sehingga kini gagal dimanfaatkan secara optimum.

Katanya, pelabur tidak akan melabur sehingga mendapat jaminan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan juga liputan komunikasi telah tersedia dengan baik.

Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor – berkata, isu Pelabuhan Darat Segamat telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah pada Januari 2020, namun kemajuan projek masih pada tahap sifar.

“Sebagai wakil rakyat DUN Kemelah, isu prasarana asas Pelabuhan Darat Segamat, yang terletak dalam DUN saya telah saya bawa dalam mesyuarat kedua, penggal persidangan pertama, Dewan Negeri Johor ke-14 (Ogos 2018).

“Exco berkaitan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih teraju pemerintahan negeri Johor ketika itu memaklumkan bahawa Syarikat Tenaga Nasional Berhad akan memperuntuk RM 30 juta untuk membina Pencawang Pembahagian Utama (PPU) bagi menaik taraf bekalan elektrik diatas tanah Johor Corporation.

“Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

“Setelah dibangkitkan kemajuan projek ini di dalam Mesyuarat Tindakan Daerah, dalam bulan Januari 2020 saya dimaklumkan kemajuan projek masih pada tahap sifar,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata sebagai wakil rakyat DUN Kemelah, beliau akan terus membangkitkan isu itu sehingga tindakan sewajarnya diambil agar Pelabuhan Darat Segamat dapat dibangunkan.

Tambahnya, sekiranya pembangunan di sini tidak dapat dijalankan, ia akan menjejaskan peluang pelaburan di daerah Segamat.

“Isu besar yang kita hadapi apabila bekalan asas tidak kita sediakan, maka pelabur tidak akan melabur di kawasan daerah Segamat.

“Ini akan merencatkan pembangunan ekonomi di kawasan Segamat. Perkara ini amat penting dan saya harap kerajaan Johor melihat serius perkara ini.

“Pembangunan wilayah utara dan tengah Johor adalah antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan Johor, secara tidak langsung dengan terbangun Pelabuhan Darat Segamat, maka daerah Segamat yang terletak di utara Johor juga akan membangun.

“Ini membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan serta mampu menarik anak muda untuk kembali menetap di Segamat,” ujarnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top