JOHOR BAHRU, 10 JUN: Kebenaran rakyat Malaysia untuk berulang-alik ke Singapura bagi urusan pekerjaan perlu berlandaskan pematuhan kepada aspek keselamatan dan kesihatan agar tidak mencetuskan kluster baharu jangkitan COVID-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata kerjasama dari semua pihak, iaitu antara kerajaan, majikan dan pekerja amat dituntut.
“Semua prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dibincang dan diputuskan oleh kerajaan kedua-dua negara nanti wajib dipatuhi,” kata Hasni dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau kerajaan Johor akan sentiasa membantu dan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Singapura bagi memudahkan semua urusan yang diperlukan supaya proses tersebut berjalan lancar.
“Semoga kelonggaran ini akan dapat membantu memacu dan melonjakkan kembali sektor ekonomi kedua-dua buah negara,” katanya lagi.
Pada 8 Jun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura bagi urusan pekerjaan.
Dianggarkan di antara 200,000 hingga 250,000 rakyat Malaysia berulang-alik sama ada menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) untuk pergi bekerja di Singapura.
Kebanyakan mereka bekerja dalam pelbagai sektor, antaranya perkilangan, perhotelan dan perkhidmatan yang lain.
Keputusan kerajaan Malaysia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai 18 Mac dan Singapura melaksanakan Circuit Breaker bermula 7 April mengakibatkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu kehilangan sumber pendapatan.
“Saya percaya keputusan kerajaan Persekutuan membenarkan semula rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura dibuat demi kepentingan ekonomi kedua-dua negara serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan.
“Sememangnya Malaysia dan Singapura saling memerlukan antara satu sama lain, apatah lagi sebagai negara berjiran,” katanya lagi.
Johorkini