BM | EN | 中文

Pekerja Malaysia di Singapura perlu dibenarkan carum Perkeso

dr-s-ramakrishnan-1.jpg

JOHOR BAHRU, 3 OGOS: Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura perlu diberi kebenaran untuk membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kata Adun Bekok, S. Ramakrishnan.

Katanya, ada di kalangan pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura tidak mempunyai perlindungan keselamatan sosial untuk melindungi mereka sekiranya kehilangan pekerjaan atau pemberhentian pekerja secara tiba-tiba.

“Mereka seharusnya diberi kebenaran untuk membuat caruman Perkeso untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial daripada pemberhentian pekerja atau kehilangan kerja.

“Dengan adanya caruman ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dapat memasukkan nama pekerja ini ke dalam skim subsidi gaji.

“Mereka adalah rakyat Malaysia yang menetap di Johor yang tidak dapat melakukan perjalanan bekerja kerana sekatan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, KSM juga perlu menyediakan latihan kemahiran bersesuaian kepada pekerja yang diberhentikan kerja untuk memenuhi pasaran pekerjaan di negara ini pada masa hadapan.

“Kerajaan Malaysia harus lebih proaktif dalam menjaga kebajikan dan memberi perlindungan sosial untuk pekerja Malaysia di Singapura yang kehilangan pekerjaan atau pemberhentian kerja secara tiba-tiba.

“Oleh itu, semua rakyat Malaysia yang terjejas di Johor sangat memerlukan sokongan Penjana dan Prihatin untuk mengembalikan kestabilan ekonomi dan kewangan mereka,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top