MUAR, 28 DIS : Seorang pekerja kilang yang memiliki tujuh anak dan suami yang tidak mampu bekerja kerana masalah strok lega apabila salah seorang anaknya menerima bantuan persekolahan dari kerajaan.
S.Gomathy, 44, berkata, anak perempuannya, K. Priyayasini, 11, antara 400 pelajar terpilih menerima bantuan sempena program bantuan back to school dan bantuan mangsa banjir Dun Bukit Kepong dan Dun Bukit Pasir, hari ini.
Wanita yang tinggal di Taman Bukit Pasir itu berkata, suaminya mengalami strok dibahagian kaki sejak tahun 2012 menyebabkan dia terpaksa mengambil tanggungjawab menyara keluarga.
Katanya, dengan pendapatan RM1,000 sebulan, dia juga perlu memikirkan beberapa anak lain yang masih bersekolah termasuk anak bongsu berumur empat tahun yang bakal memasuki alam tadika.
“Anak sulung yang berumur 24 tahun baru sahaja tamat belajar dan sedang mencari kerja.
“Terima kasih kepada kerajaan dengan memberikan bantuan kepada Priyayasini yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Temiang Renchong,”katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Terdahulu, Program Bantuan Back To School Dan Bantuan Mangsa Banjir Dun Bukit Kepong & Dun Bukit Pasir itu dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Sementara itu, bagi seorang penerima lain, Ezyan Sefia Salleh, 16 turut meluahkan rasa syukur kerana menerima bantuan berkenaan.
Anak peniaga sate itu antara tujuh pelajar mangsa banjir di kawasan Dun Bukit Kepong yang menerima bantuan kelengkapan sekolah pada majlis itu.
“Saya bersyukur dengan bantuan yang diterima ini. Sekurang-kurangnya tidak menyusahkan emak dan ayah untuk menyediakan barang sekolah.
“Selain saya, tiga adik iaitu Ezyan Nasywa,14, Ezyan Alysya, 11 serta Ezyan Imanina, 8, turut menerima bantuan persekolahan ini,”katanya.
JohorKini