
Lokasi kejadian di tapak Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, petang semalam
PASIR GUDANG, 14 OKT : Seorang pekerja binaan cedera parah selepas spanar bersaiz 20 inci jatuh di belakang tengkuk ketika sedang melakukan kerja penyelengaraan di tapak Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, petang semalam.
Pegawai Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Yusri Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 2.29 petang.
Katanya, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera dan sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja menyelamat.
“Mangsa seorang pekerja binaan telah dihempap skru dan spanar yang jatuh dari bangunan menyebabkan mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian leher.
“Ketika anggota tiba di lokasi, mangsa berada di bawah paip air. Ketika kejadian mangsa berusia 37 tahun melakukan kerja menyelenggara bersama lima yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya, tindakan operasi membawa mangsa keluar dan menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh ambulan Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan operasi ditamatkan pada jam 3 petang.
JohorKini