KOTA TINGGI, 30 JAN: Pekebun dan penanam sawit kecil dinasihatkan untuk membuat tanaman sampingan selain turut menternak haiwan bersesuaian di tanah milik mereka.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, itu antara langkah proaktif yang boleh dibuat bagi menambah punca pendapatan mereka.
“Majoriti daripada tanah pertanian di negara ini mengusahakan tanaman sawit, ini termasuklah tanah milik pekebun kecil.
“Semasa harga sawit baik, ia tidak memberi masalah namun apabila harga turun seperti awal tahun lalu, ramai pengusaha sawit terkesan, sama ada syarikat besar mahupun pekebun kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diadakan di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB); Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Chew Jit Seng dan ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari.
Tambah Teresa, majoriti daripada pekebun kecil mempunyai pokok sawit lama yang sudah tidak berbuah dimana kawasan berkenaan boleh digunakan untuk tanaman sampingan lain.
“Dengan adanya tanaman sampingan, pekebun kecil tidak hanya bergantung kepada pendapatan daripada sawit semata-mata,” katanya.
Johorkini