BM | EN | 中文

PEKEBUN KECIL SAWIT PERLU DAPATKAN SIJIL MSPO

teressa-1.jpg
Advertisement

Oleh: Khairul Mohd Ali

PONTIAN, 11 NOV: Pekebun Kecil Persendirian (PKP) tanaman sawit di negara ini diseru untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi membolehkan produk mereka dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, perkara itu penting kerana sehingga 30 September 2019, hanya 55 peratus daripada keseluruhan 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini telah mendapat Pensijilan MSPO.

Advertisement

Menurutnya, majoriti daripada peratusan itu membabitkan syarikat syarikat besar.

“MSPO adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuh industri sawit negara selari dengan kehendak negara pengimport dan pengguna sawit seluruh dunia yang mahu produk itu dihasilkan secara mampan dan selamat.

“Pensijilan ini sekaligus memperkasa pekebun kecil dan penanam sawit bagi meningkatkan hasil pengeluaran seterusnya menjamin pendapatan lebih tinggi,” katanya.

Advertisement

Dia berkata demikian ketika menghadiri Majlis Taklimat MSPO dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Johor di Dewan Muafakat Johor, Taman Seri Sentosa, Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Chew Jit Seng dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pengembangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ramle Moslim.

Tambah Teresa, di negeri Johor seramai 3,922 PKP telah dipersijilkan dengan MSPO melibatkan keluasan tanaman sawit 9,244 hektar.

Advertisement

“Namun jumlah berkenaan masih agak rendah kerana ia hanya melibatkan 4.2 peratus daripada keseluruhan 219,000 hektar tanaman sawit oleh PKP di negeri ini.

“Oleh itu, adalah amat penting untuk PKP mendapatkan pensijilan MSPO bagi membolehkan produk mereka terus mendapat tempat di pasaran antarabangsa,” katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top