JOHOR BAHRU, 30 OGOS: Nostalgia Pekan Nanas, yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Lembah Nanas – dengan kebergantungan penduduk setempat terhadap tanaman tersebut – berjaya diterjemahkan melalui pameran lukisan “The Art Journey of Pekan Nanas” bertempat di Pekan Sentral, Pontian semalam.
Antara fakta yang dapat disingkap melalui pameran tersebut ialah perdana menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sendiri merasmikan kilang nanas pertama kawasan tersebut pada tahun 1964.
Adun Pekan Nanas Yeo Tung Siong berkata, pameran tersebut disertai 200 pelukis.
“Pameran ini bukan sahaja mengangkat keistimewaan pekan kecil yang terletak antara laluan Johor Bahru – Pontian, malahan memberi landasan kepada pelukis muda berekspresi hasil karya mereka,” Tung Siong dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.
Pameran semalam itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali yang turut meluangkan masa melawat galeri pameran.
Sheikh Umar berkata pameran seumpama ini juga merupakan salah satu cabang industri kreatif yang memberi peluang kepada belia meluahkan idea dan bakat mereka.
“Kerajaan negeri komited membantu meningkatkan industri kreatif menerusi geran mikro usahawan berjumlah RM1.5 juta bagi membantu usahawan konvensional dan usahawan kreatif dan permohonannya dibuka bulan depan”
“Saya harap usahawan di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk memohon geran mikro usahawan,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian