BM | EN | 中文

“Pejuang satu-satunya pembangkang di Johor”

marzuki-pejuang.jpg

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Pejuang tidak akan bekerjasama dengan BN, Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya dilaporkan Malaysiakini berkata, pihaknya mahu menonjolkan parti mereka sebagai parti pembangkang sebenar dan oleh itu tidak boleh bersekutu dengan ketiga-tiga gabungan itu.

“Ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada kerajaan… walaupun PH tiada dalam kabinet.

“PH adalah sebahagian daripada kerajaan Ismail Sabri Yaakob manakala ia juga sebahagian daripada kerajaan di Johor,” kata Marzuki.

Sebelum pembubaran DUN Johor, speaker ialah Suhaizan Kayat dari Amanah manakala timbalan speaker ialah Gan Peck Cheng dari DAP.

Menteri Besar sementara Hasni Mohammad tidak berusaha untuk menyingkirkan mereka walaupun mencapai sokongan majoriti pada pertengahan penggal dan mengambil alih daripada PH.

Kenyataan Marzuki bercanggah dengan dakwaan yang dibuat oleh bendahari Pejuang Saharuddin Mohd Salleh dua hari lalu.

Saharuddin mendakwa bahawa partinya sedang berbincang dengan PH mengenai pakatan, tetapi parti itu cenderung untuk bertanding solo.

Saharuddin juga mendedahkan bahawa pihaknya mengintai 42 daripada 56 kerusi yang ada.

Marzuki berkata angka yang diperkatakan oleh Saharuddin hanyalah “cadangan”.

Menurutnya, kepimpinan pusat parti masih belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenai PRN Johor.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain seperti Muda, Pejuang dan Warisan untuk menghadapi pilihan raya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top