BM | EN | 中文

Pegawai agensi penguatkuasa antara dalang penyeludupan migran

DSC_7403-scaled.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 30 APRIL: Polis telah kenalpasti beberapa dalang termasuk pegawai agensi penguatkuasa yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan migran ke negara ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira latar belakang dan kedudukan mereka.

Katanya, pihaknya juga telah mengenalpasti kira-kira 20 sindiket penyeludupan migran yang menjadikan Johor sebagai transit mereka.

Advertisement

“Dalang yang dikenal pasti kurang daripada 10 orang, ada kedudukan dan bersekongkol. Bukan terdiri daripada masyarakat awam sahaja tetapi juga di kalangan pegawai agensi penguatkuasa.

“Jangan terkejut kalau ada tangkapan dibuat, kita tidak akan bertolak ansur,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan lagi, pihaknya juga kini memberi tumpuan kepada usaha menangkap tekong yang memainkan peranan dalam menjalankan kegiatan jenayah penyeludupan migran ini.

Advertisement

“Sebelum ini kebanyakan tangkapan melibatkan migran, tetapi kini kita memberi tumpuan kepada memburu tekong.

“Kita yakin langkah ini akan dapat menyekat kemasukan migran ke negara ini, lebih-lebih lagi sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan kerajaan,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga memberi amaran kepada orang ramai khususnya pemilik kediaman dan pemandu teksi untuk tidak bersekongkol dengan menyediakan penginapan dan pengangkutan kepada sindiket terbabit.

Advertisement

Sementara itu, pihaknya turut memaklumkan penahanan seramai 20 tekong dan 24 migran menerusi sembilan serbuan yang dijalankan antara 22 April hingga 27 April lalu.

“Tekong yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta sembilan lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

“Manakala migran yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia berusia antara 19 hingga 31 tahun,” katanya.

Advertisement

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top