BM | EN | 中文

PBT di Johor keluar lebih 5,000 notis gagal patuh larangan guna polistirena, plastik

ayub-jamil-plastik-polisterin.png
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 1 DIS: Sebanyak 5,601 notis dikeluarkan kepada pemilik premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor sejak Julai kerana didapati tidak mematuhi larangan menggunakan bekas makanan dan minuman polisterina, plastik dan straw dalam premis masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Ayub Jamil berkata sebanyak 2,780 daripada notis itu dikeluarkan pada Julai; 1,432 notis (Ogos); 1,346 notis (September) dan 43 notis (Oktober).

Katanya ia susulan pemeriksaan ke atas 36,044 premis di seluruh Johor merangkumi restoran, pasar malam, pasar awam PBT atau swasta, bazar atau gerai juadah, trak makanan, penjaja PBT atau swasta, kantin sekolah dan kedai runcit atau kedai serbaneka.

Advertisement

“Sepanjang tempoh Julai hingga Oktober tahun ini, sebanyak 36,044 premis telah diperiksa dan 5,601 notis telah dikeluarkan namun tiada kompaun atau sitaan dikenakan.

“Selain itu, menerusi tinjauan terhadap premis makanan didapati terdapat pengurangan notis dikeluarkan kepada peniaga sekali gus memperlihatkan peningkatan pematuhan premis makanan terhadap larangan yang dikeluarkan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Skudai) yang ingin tahu apakah status terkini atau inisiatif tentang pelaksanaan dasar mengharamkan penggunaan bekas makanan dan minuman polisterina di semua premis perniagaan yang dimulakan sejak Julai.

Advertisement

Ayub memberitahu larangan menggunakan bekas polisterina, plastik dan straw dilancarkan kerajaan negeri pada Disember 2019 setelah mengambil kira kesan keburukannya terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Namun begitu, pelaksanaannya hanya bermula pada 1 Julai tahun ini selepas memberi tempoh enam bulan untuk pendidikan kepada masyarakat.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top