BM | EN | 中文

Pasukan karate OKU SMK Taman Sutera ke Tokyo, mohon sumbangan

pasukan-karate.jpg

Pasukan karate OKU SMK Taman Sutera.

Advertisement

JOHOR BAHRU, 9 JAN: Pasukan karate orang kurang upaya (OKU) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sutera di sini memohon sumbangan bagi membiayai kos perbelanjaan pasukan itu ke Kejuaraan Karate Ketiga bagi OKU Pendengaran di Tokyo, Jepun hujung bulan ini.

Guru pengiring pasukan tersebut, P Johthi berkata, pasukan itu memerlukan sekitar RM130,000 bagi membiayai seramai 14 atlet dan pegawai ke Tokyo untuk menyertai kejohanan yang berlangsung kira-kira seminggu itu.

“Jumlah kewangan yang kami ada sekarang ini tidak mencukupi. Jadi kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai dan pihak swasta untuk membantu.

Advertisement

“Kalau orang ramai menyumbang RM1 seorang pun memadai. Jika ramai yang membantu, sedikit demi sedikit saya rasa sasaran jumlah boleh dicapai,” kata Johthi kepada Johorkini.

Menurut Johthi lagi, meskipun berdepan cabaran kewangan, namun komitmen ditunjukkan para atlet OKU yang dilatih Master Sre Varan membakar semangat para guru dan bapa ibu untuk terus memberikan sokongan.

Tambah beliau lagi, pasukan karate sekolah itu telah beberapa kali mengharumkan nama Malaysia di pertandingan karate OKU di peringkat antarabangsa.

Advertisement

Antaranya dengan memenangi pingat emas dalam kejohanan karate di Iran, dua emas dalam pertandingan di Sri Lanka serta lapan perak dan lima gangsa pada 2019.

Dalam masa yang sama katanya, penyertaan pasukan tersebut di Jepun boleh mempersiapkan mereka menghadapi kejohanan karate OKU pendengaran peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur, September ini.

“Hanya melalui pertandingan peringkat antarabangsa sahaja para pemain boleh menimba pengalaman dengan bertemu pesaing luar. Sebab itu kejohanan di Jepun hujung bulan ini penting.

Advertisement

“Kami amat mengharapkan pembiayaan itu. Sebelum ini ada bantuan dari Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) melalui Sheikh Umar Bagharib Ali, namun jumlahnya masih tidak mencukupi. Jadi, sumbangan dari orang ramai sangat dialu-alukan,” ujarnya.

Orang ramai yang berhajat untuk membuat sumbangan boleh melakukannya melalui akaun PIBG SMK Taman Sutera (CIMB) 8006125782, atau menghubungi guru pengiring Johthi Subramaniam di talian 016-6683558.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top