BM | EN | 中文

Pastikan Insentif Ihsan Johor sampai kumpulan sasaran

Dzul-Johor.jpg

Daripada 15 bantuan dalam Insentif Ihsan Johor yang melibatkan RM 17.5 juta, hanyalah Insentif Bank Makanan bagi golongan B40 termasuk senarai e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang boleh dianggap menyantuni kumpulan sasaran ini, kata Dzul.

Insentif Ihsan Johor yang diumumkan pada Rabu, 25 Mac 2020 yang lalu oleh Menteri Besar Johor Dato Ir Hasni Mohammad masih dilihat gagal menyantuni golongan sasaran.

Perkara itu disuarakan oleh bekas Exco yang juga Adun Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan media yang menyebut golongan sasaran tersebut masih mengeluh kerana tiada sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kumpulan tersebut biasanya terdiri daripada kategori B40 yang berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

“Kumpulan seperti penjaja atau peniaga kecilan, peniaga pasar malam atau pagi, penerima upah serta gaji harian, pemandu pelancong, penoreh getah dan nelayan masih lagi dilihat gagal disantuni oleh kerajaan Johor hari ini.

“Kumpulan ini pendapatan mereka sangat rapuh dan bila-bila masa jika berlaku keadaan luar biasa seperti perlaksaan PKP, mereka pasti akan terkesan teruk.

“Daripada 15 bantuan dalam Insentif Ihsan Johor yang melibatkan RM 17.5 juta, hanyalah Insentif Bank Makanan bagi golongan B40 termasuk senarai e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang boleh dianggap menyantuni kumpulan sasaran ini.

“Walau bagaimana pun jika ini merujuk kepada Bantuan Barangan Keperluan Makanan Asasi yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) maka ianya masih belum diterima rakyat kerana sehingga hari ini PKP dilaksanakan ianya masih di peringkat pengumpulan senarai nama daripada penghulu dan Pegawai Daerah,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

Sehubungan dengan itu, beliau yang merupakan mantan exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri Johor menyatakan perlunya bantuan segera RM500 secara ‘one-off’ kepada kumpulan rakyat yang terjejas sumber pendapatan tersebut.

Beliau turut menyatakan pada peringkat awal ini bantuan seperti itu harus disegerakan bertujuan menampung kehidupan mereka yang semakin terjejas sebelum segala bantuan lain dilaksanakan dengan sempurna.

Negeri yang telah melaksanakan insentif seperti ini adalah Selangor yang telah memberikan RM 500 ‘one-off’ dengan peruntukkan sebanyak RM 40 juta.

“Selain itu Pulau Pinang juga telah membayar RM 500 ‘one-off’ kepada penarik beca, 2,248 pemandu teksi, 10,000 pemandu e-hailing dan 1,367 pemandu pelancong.

“Dan negeri yang lain turut memberikan sumbangan ‘one-off’ adalah Sabah sebanyak RM 500 kepada senarai e-kasih iaitu golongan miskin dan miskin tegar serta golongan berpendapatan rendah B40 yang terjejas secara langsung dan peruntukkan sebanyak RM 300 juta telah disediakan,” katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly telah mencadangkan supaya kerajaan Johor menggunakan Rizab Tunai berjumlah RM 3.068 billion atau Tabung Amanah Warisan Negeri Johor (TAWNJ) berjumlah RM 680.37 juta bagi membantu rakyat Johor termasuklah bantuan ‘one-off’ kepada kumpulan sasaran.

 

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top