MERSING, 19 OGOS: Pertanian merupakan alternatif yang mampu menjana semula pendapatan rakyat selain menjadi mengukuhkan ekonomi negara terutamanya pasca pandemik Covid-19.
Pengerusi NGO Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berpendapat usaha untuk membantu para petani serta mencari petani baharu amat penting pada waktu ini.
Katanya, dorongan kerajaan adalah perlu dalam usaha membantu petani untuk mendapatkan pendapatan yang baik ketika ini.
“Apa yang penting sekarang ini adalah usaha yang berterusan dari pihak kerajaan untuk membantu petani sedia ada meningkatkan produk mereka serta cara pemasaran lebih aktif contohnya seperti ke luar negara.
“Selain itu, usaha menggembeling untuk mencari petani dan usahawan tani baharu perlu dilakukan.
“Kerajaan perlu menyediakan pelbagai suntikan bantuan seperti subsidi, geran, tanah dan sebagainya.
“Peluang-peluang ini harus dibuka kepada rakyat khususnya anak muda yang masih mempunyai tenaga bagi memeriahkan lagi bidang pertanian ini,” ujarnya ketika membuat lawatan di salah sebuah kebun fertigasi cili di sini.

Mazlan Aliman melawat salah sebuah kebun fertigasi cili di Mersing
Beliau turut menyatakan hasrat untuk membantu usaha itu bagi mencapai objektif yang akan membawa hasil kepada petani dan negara.
Tambah Mazlan dasar pertanian perlu sampai kepada kumpulan pelaksana terutamanya di peringkat kementerian dan agensi.
“Pembiayaan dan insentif mesti sampai segera kepada kumpulan sasar seperti petani, penternak dan usahawan. Ia sejajar dengan peruntukan yang telah diumumkan kjaan.
“Kerenah birokrasi mesti dikurangkan. Tiada makna segala pengumuman berbilion atau berjuta ringgir jika golongan sasar hanya menunggu seperti buah tak gugur.
“Melalui NGO ini beberapa program dirangka melibatkan petani di mana kita akan membuka beberapa tapak jualan selain pasar rakyat yang mana pembeli boleh mendapatkan bahan tersebut dengan harga borong.
“Selain itu beberapa program masih dirangka khusus dalam membantu petani seperti pengiklananan hasil melalui media sosial dan beberapa lagi kaedah demi membantu usahawan tani di Johor dan negara ini,” katanya lagi.
Johorkini