BM | EN | 中文

Pasar Segar Terkawal FAMA catat nilai jualan RM409.16 juta

Pasar-Segar-Terkawal-FAMA.jpg

Gambar Ehsan FAMA

Advertisement

JOHOR BAHRU, 13 DIS: Pasar Segar Terkawal (PST) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan nilai jualan berjumlah RM409.16 juta sejak ia diwujudkan pada Mac lepas.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, nilai jualan itu direkodkan bagi tempoh dari Mac sehingga November melibatkan 48 PST di seluruh negara termasuk lima di Johor.

Katanya, PST diwujudkan bagi memastikan kelangsungan bekalan dan kecekapan dalam pengedaran makanan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang harganya 10 peratus lebih murah berbanding di tempat lain.

Advertisement

“Dalam norma baharu ini juga, jualan menerusi Agrobazaar Online mendapat sambutan dengan mencatatkan nilai RM2.19 juta dari Mac sehingga November.

“Perubahan trend pembelian dalam kalangan pengguna di negara kita sudah berubah dan pengguna lebih menyukai memberi secara dalam talian…kerana ia lebih mudah, harga berpatutan dan terus sampai kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Kekal Permas Jaya di sini, hari ini.

Turut menyertai lawatan itu ialah Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Wira Ghazale Muhamad dan Pengarah FAMA Negeri Johor Shahrizan Sudiman.

Advertisement

Menurutnya, PST membekalkan komoditi asas seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam segar, ikan segar, daging segar, barangan runcit dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Ahmad berkata di Johor sahaja, terdapat lima PST dengan melibatkan 273 usahawan yang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM26 juta bagi tempoh sama, manakala nilai jualan melalui Agrobazaar Online bagi negeri ini pula sebanyak RM242,000.

Sementara itu, beliau berkata pihak FAMA dalam masa sama juga bersedia untuk menambah PST tahun hadapan sekiranya terdapat permintaan.

Advertisement

Bernama

 

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top