BM | EN | 中文

PASANGAN TINGGAL BERJAUHAN DIBIMBANGI JEJAS INSTITUSI KELUARGA

cai-tung-5.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 15 NOV : Kira-kira 6.9 peratus wanita yang berkahwin tinggal berjauhan dari suami atas faktor pekerjaan menurut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM 5).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Liow Cai Tung berkata, hal itu amat membimbangkan terutama dalam aspek sokongan keluarga.

“Sekiranya keluarga tidak berfungsi dengan baik, dikhuatiri akan menjejaskan perkembangan pembesaran anak-anak dan mungkin membawa kepada masalah sosial seperti isu kehamilan remaja dan kes buang bayi.

Advertisement

“Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat seramai 2,873 remaja hamil luar nikah pada 2018 dan seramai 3,694 remaja hamil luar nikah pada tahun 2017.

“Justeru itu, pendidikan awal dan bimbingan keluarga amat penting agar dapat mengelakan masalah-masalah seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Negeri Johor dan Penyampaian Hadiah Akhir Tahun Tabika Kemas Skudai Tahun 2019 di Mydin Mall Mutiara Rini, Skudai, hari ini.

Advertisement

Tambah Cai Tung, keluarga yang sejahtera merupakan tonggak penting untuk melahirkan individu dan komuniti sejahtera.

Jelasnya, kesejahteraan individu secara psikologi, mental dan fizikal boleh membantu membina komuniti yang makmur dari segi sosial, ekonomi dan kesejahteraan ekologi manusia.

“Sebagai menghargai pengorbanan keluarga terhadap pembangunan negara, kerajaan telah memperuntukkan beberapa inisiatif sebagai penghargaan kepada keluarga yang dapat mengurangkan bebanan keluarga dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini.

Advertisement

“Antaranya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalankan rawatan kesuburan In-Vitro Fertilisation (IVF) iaitu pengeluaran sebanyak RM10,000 bagi membantu wanita meneruskan rawatan sehingga berjaya.

“Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 bagi perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius merangkumi kos rawatan kesuburan,” katanya lagi.

Cai Tung yang juga Adun Johor Jaya berkata, kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan RM30 juta bagi penyediaan lebih banyak Taska di samping peruntukan RM575 juta bagi bantuan sosioekonomi memanfaatkan 137,000 warga emas.

Advertisement

Katanya, tidak dilupakan bonus RM500 bagi penjawat awam yang boleh dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kegunaan keluarga.

“Diharap dengan adanya bantuan ini dalam Belanjawan 2020 ia akan meringankan bebanan rakyat dalam memastikan kelangsungan hidup individu dan keluarga di negara ini,” kata Cai Tung lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top