Terletak berdekatan sungai Belokok, Pontian, Kampung Parit Jerman sering menjadi tumpuan orang ramai, tidak kira penduduk setempat mahupun pelancong dari luar negeri.
Keunikan namanya yang sering menjadi sebutan orang, membuatkan lebih ramai tertarik dengan kampung itu selain rasa senang hati dengan sikap kemesraan penduduk-penduduk setempat.
Menyusuri sejarah, nama kampung tersebut adalah bersempena dengan kedatangan orang Jerman pada waktu dahulu.
Pada ketika itu, pedagang Jerman menetap di kawasan sungai berdekatan, untuk mengusahakan tanaman selain menggunakan jalan kampung di situ sebagai laluan utama mereka.
Terdapat juga kesan peninggalan sejarah seperti batu bata dan tangga batu di jeti berdekatan yang dianggap sebagai bukti peninggalan orang Jerman pada ketika dahulu.
Sering menjadi bualan orang ramai, kampung itu turut pernah menjadi tumpuan selepas kemenangan pasukan Jerman pada perlawanan Piala Dunia 2014.
Salah seorang penduduk Ahmad Daud Mohd Saeng, 52, berkata, beliau sangat berbangga kerana nama kampungnya yang dikaitkan dengan kemenangan pasukan tersebut.
“Pada ketika itu, ramai yang datang untuk singgah di jalan masuk untuk bergambar di papan tanda bagi menyemarakkan lagi sambutan kemenangan pasukan tersebut,” katanya kepada Johorkini, di sini.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, beliau juga turut bangga kerana ada saudara terdekatnya yang berkahwin dengan individu berasal daripada negara Jerman.
“Mereka berkenalan di Singapura dan kini menetap di Port Dickson, tetapi setiap kali cuti panjang, mereka berdua akan pulang ke sini untuk menikmati suasana di kampung,” katanya lagi.
Ahmad berkata beliau lahir dan membesar di kampung ini dimana pada awalnya beliau dan bapanya menjayakan tanaman nenas, kelapa dan sebagainya demi mencari rezeki untuk menyara keluarga.
Beliau berharap agar keharmonian dan kemesraan antara penduduk setempat akan diteruskan kerana kampung tersebut terus menjadi tumpuan dan sebutan orang ramai.
“Kampung ini mempunyai lebih kurang 60 buah rumah dan terdiri daripada masyarakat Jawa dan Bugis.
“Kepelbagaian komuniti setempat di sini membuatkan penduduk disini mesra dengan tetamu-tetamu yang datang ke sini samada untuk tujuan pelancongan mahupun melawat keluarga terdekat,” katanya.
JohorKini