BM | EN | 中文

PARIT BUKAN SEBARANG PARIT

IMG-20191207-WA0029.jpg
Advertisement

 

Orang-orang Jawa di Johor adalah antara peneroka awal tanah-tanah hutan. Setelah diteroka tanah-tanah ini, mereka pun membina kebun.

Bagi memudahkan laluan air untuk mengeringkan tanah-tanah gambut di kebun mereka, maka dibinalah parit yang besar. Selari dengan parit yang panjang itu dibina pula jalan raya.

Advertisement

Maka terbentuklah kampung yang disempadani dengan parit-parit besar ini. Siapa yang mengasaskan kampung berkenaan, namanya biasa diletakkan selepas  nama “Parit” sebagai nama kampung itu.

Contohnya peranan Orang Kaya Abu Bakar membuka kawasan Belantapuri dan memajukan kampung yang kini dipanggil Parit Bakar di Muar bersempena namanya.

Begitulah juga cerita-cerita di sebalik penamaan Parit Mahmood, Parit Kudus, Parit Haji Noor, Parit Madirono, Parit Wagiman, Parit Joyo, Parit Haji Taib, Parit Sulaiman, Parit Samsu dan lain-lain.

Advertisement

Rata-rata tanah di kawasan yang dibuka penempatan ini adalah tanah gambut yang sesuai ditanam kelapa sawit dan nanas. Dari kebun berkembanglah ia menjadi ladang.

Jadi, tidak hairanlah Johor kini menjadi pengeluar terbesar kelapa sawit di Semenanjung Malaysia dan pengeluar terbesar nanas di seluruh Malaysia.

Memandangkan tanah gambut sukar menyerap air, kawasannya memerlukan parit untuk mengalirkan lebihan air agar tanaman tidak rosak apabila akarnya terendam air.

Advertisement

Namun, parit yang dibina hendaklah tidak begitu dalam hingga menyebabkan tanaman tidak sukar mendapat bekalan air untuk hidup.

Bukan itu sahaja, parit yang telah digali memerlukan penyelenggaraan berkala dengan baik kerana tanah gambus juga mudah terkambus semula berbanding dengan tanah mineral.

Kerja penyelenggaraan ini sering dipanggil sebagai “cuci parit” atau “membersih parit”.

Advertisement

Parit ladang perlu bersambung dengan parit besar seterusnya ke anak sungai atau sungai. Di Johor, Jawatankuasa Pengawasan Sistem Saliran dan Pengairan peringkat daerah akan memastikan sistem ini berjalan lancar.

Bencana banjir besar yang sering berlaku di beberapa daerah di Johor seringkali menyebabkan kawasan tanah gambut berserta tanaman ini terendam lama.

Ini mengakibatkan kerugian yang besar kepada penduduk kampung yang juga merupakan pengusaha ladang.

Advertisement

Itulah pentingnya sistem parit ini dipastikan berfungsi dengan baik.

Ia bukan dibina orang terdahulu sekadar bertujuan menjadi sempadan antara kampung semata-mata.

Lebih malang lagi andai generasi muda dari kampung-kampung berkenaan tidak mengetahui selok belok tanah gambut kerana sudah tidak terlibat dengan peladangan kelapa sawit dan nanas.

Advertisement

Pada setiap tahun antara bulan November hingga Februari, Malaysia akan mengalami musim tengkujuh disebabkan Angin Monsun Timur Laut yang membawa hujan ke negeri-negeri yang mengadap ke Laut China Selatan.

Fenomena alam ini adalah kehendak Tuhan yang tidak dapat kita halang. Kita hanya dapat mengurangkan kesan bencana menerusi beberapa tindakan yang wajar.

Hujan lebat biasanya akan membawa kelodak, pasir dan lumpur ke dalam parit menyebabkan ia cepat tohor. Ia juga membawa kandungan baja kelapa sawit ke dalam parit hingga menyebabkan rumput cepat tumbuh dan menghalang aliran air.

Advertisement

Jika penyelenggaraan dibuat ikut jadual, risiko banjir dapat dikurangkan. Begitu juga dengan tebing-tebing parit yang runtuh dapat dipulihkan.

Sikap masyarakat setempat yang membuang sampah ke dalam parit juga boleh menyebabkan parit tersumbat. Ini akan menambah risiko banjir berlaku di kawasan berkenaan. Jadi, jauhilah daripada bersikap demikian.

Semoga tindakan kita selaku manusia yang mampu menguruskan situasi ini dengan terancang dapat mengelakkan atau mengurangkan kesan bencana yang kerap terjadi pada musim tengkujuh.

Advertisement

RUJUKAN:

http://eprints.usm.my/30795/1/Kelestarian_Budaya_Orang_Melayu_Keturunan_Jawa_dan_Perdamaian.pdf

http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/4549/1/diaspora_rumpun…malaysia_U.pdf

Advertisement

http://animhosnan.blogspot.com/2018/09/tanah-gambut-dan-tanaman-kelapa-sawit.html

http://apps.water.gov.my/jpskomuniti/dokumen/Sg%20Benut,%20Kluang,%20Johor%20REV.%201.pdf

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top