BM | EN | 中文

Paras air di dua sungai di Johor meningkat

banjir-tangkak.jpg

Gambar Ehsan FB Iskandar Zulkarnain

SEGAMAT, 1 JAN: Paras air di dua sungai melebihi paras bahaya dengan kedua-duanya meningkat di daerah Muar dan Segamat.

Dua sungai iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat mencatat 20.2 meter (paras bahaya 19.95 meter), serta Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak yang mencatat 4.16 meter (paras bahaya empat meter).

Dua sungai itu antara 10 sungai di lima negeri iaitu Pahang, Johor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka merekodkan paras air melebihi tahap bahaya pagi ini, susulan hujan berterusan sejak semalam.

Portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaporkan BH Online memaklumkan sekurang-kurangnya paras air di lapan daripada 10 sungai itu masih menunjukkan pola meningkat, sekali gus berisiko menyebabkan banjir atau memburukkan lagi bencana itu.

Di Pahang, tiga sungai di Bera, Raub dan Lipis melepasi paras bahaya dengan dua daripadanya masih meningkat, antaranya Sungai Serting di Jam Padang Gudang, Bera menunjukkan sungai itu berada pada paras 30.94 meter, melebihi paras bahaya 30.5 meter dengan trend menaik.

Selain itu, Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis berada pada paras 82.62 meter, melebihi paras bahaya 82.5 meter dan terus meningkat, manakala Sungai Lipis di Batu Malim, Raub mencatat 115.15 meter (paras bahaya 114.8 meter), namun sudah mula menurun.

Satu sungai di Kelantan turut mencatat paras air melebihi tahap bahaya, iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai yang mencatat 25.21 meter (paras bahaya 25 meter) namun kini dalam trend menurun.

Dalam pada itu, tiga sungai di Jempol dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan sudah melebihi paras bahaya dengan dua daripadanya masih terus meningkat, manakala satu lagi tiada perubahan.

Aras air Sungai Muar di Kampung Berembang, Kuala Pilah yang mencatat bacaan 63.9 meter melebihi paras bahaya 63 meter, selain Sungai Serting di Kampung Datok Johan, Jempol yang mencatat paras 74.75 meter (paras bahaya 74.5 meter).

Satu lagi sungai adalah Sungai Muar di Pekan Rompin, Jempol mencatat bacaan 35.66 meter melebihi paras bahaya 33 meter, dengan tiada perubahan pada peningkatan atau penurunan paras air.

Melaka pula merekodkan satu sungai melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah yang mencatat 2.58 meter melebihi paras bahaya dua meter), dan masih mencatat peningkatan.

Dalam pada itu, 16 sungai di tujuh negeri sudah melebihi tahap amaran, iaitu lima di Pahang, dua di Johor, dua di Kelantan, dua di Negeri Sembilan, dua di Melaka, satu di Sarawak dan dua di Terengganu.

Paras air di 10 sungai daripadanya masih mencatat pola menaik, iaitu Paya Gintong di Jerantut, Sungai Triang di Bentong dan Sungai Luit di Maran, Pahang; Sungai Lenik di Segamat dan Sungai Segamat di Segamat, Johor; dan Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan.

Selain itu, Sungai Linggi di Port Dickson, Negeri Sembilan; Cheng di Melaka Tengah, Melaka; Long Teru di Miri, Sarawak dan Sungai Dungun di Dungun, Terengganu.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top