ISKANDAR PUTERI, 10 DIS : Paragon Globe Properties Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli tanah seluas 12.44 hektar yang bernilai RM60.96 juta dengan Iskandar Capital Sdn Bhd.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kehadiran pemaju hartanah tempatan dalam pembangunan di kawasan Iskandar Puteri.
“Ini merupakan titik permulaan kepada pembangunan jangka masa panjang buat IIB dan juga anak syarikatnya (Iskandar Capital Sdn Bhd).
“Justeru itu, kami berharap lebih ramai pemain tempatan akan melibatkan diri dalam pelbagai projek pembangunan di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Perjanjian jual beli itu ditandatangani kedua-dua pihak di Medini 9, di sini, Khamis lalu.
Dalam majlis menandatangani perjanjian itu, Paragon Globe diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Tan Pei Seng; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Godwin Tan Pei Poh dan Pengarah Bukan Eksekutif, Datuk Ismail Karim.
Sementara itu, Iskandar Capital diwakili Ketua Syarikat Iskandar Capital, Dzulkeflie Jaapar; Ketua Pegawai Operasi IIB, Datuk Akmal Ahmad dan Naib Presiden Eksekutif IIB, Johari Shukri Jamil.
Turut hadir dalam majlis itu, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad dan Pengerusi IIB, Datuk Shahril Ridza Ridzuan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir Khairil Anwar Bin Ahmad.
JohorKini