BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Wajarkah menteri membaca teks jawapan di parlimen?

dewan-rakyat-parlimen-Malaysia.jpg
Advertisement

Oleh: Fakhrurrazi Rashid

Tular video di Twitter beberapa minggu yang lalu berkenaan segelintir menteri yang membaca teks jawapan ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), antaranya adalah petikan video Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beberapa ahli parlimen pembangkang telah mengkritik pendekatan Siti Zailah yang terus-menerus membaca teks jawapan sewaktu penggulungan RMK12 tanpa memberi ruang kepada wakil rakyat mendapatkan sebarang penjelasan. Insiden ini telah mendapat reaksi negatif orang awam yang rata-ratanya kecewa dengan kualiti menteri yang tidak mampu menjawab pertanyaan parlimen dengan baik.

Advertisement

Ini bukanlah perkara baharu dan ia hanya berlaku kepada segelintir menteri. Cuma, amalan yang tidak produktif ini kerap diulangi oleh jemaah menteri sehingga menjejaskan integriti dan fungsi parlimen dalam membahaskan isu rakyat dan negara. Perkara ini menjadi punca perbahasan di parlimen mendatar dan lebih kepada mendengar ‘kuliah’ Pak Menteri.

Ketika persidangan Dewan Negara pada September 2020, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim pernah menegur segelintir menteri membaca teks jawapan yang agak panjang sehingga menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan sukar difahami oleh ahli parlimen. Teguran ini amat berasas sama sekali.

Maka, tidak harianlah mengapa sistem demokrasi berparlimen sukar berubah jika barisan jemaah menteri sendiri tidak kompeten dalam menyediakan jawapan yang tuntas dan bermakna kepada ahli parlimen.

Advertisement

Jawapan Menteri yang sering mengelirukan

Ada juga segelintir jemaah menteri yang menjawab pertanyaan ahli parlimen dengan memberi penjelasan palsu dan tidak berfakta. Ia pernah berlaku ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul didapati telah memberi jawapan palsu dengan mendakwa saudari Veveonah Mosibin hanya ‘berlakon’ susah untuk mendapat capaian internet di Sabah bagi menduduki peperiksaan universitinya.

Kita juga perlu ingat bagaimana kecuaian Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi jawapan tidak tepat di Dewan Rakyat berkenaan pembatalan Ordinan Darurat. Ia telah menjadi punca pergeseran atau konflik antara kerajaan, parlimen, dan Yang Di-Pertuan Agong yang mencetuskan krisis politik di tengah-tengah pandemik.

Advertisement

Kelemahan menteri dalam memberi jawapan di parlimen, sama ada membaca teks bulat-bulat atau membuat kenyataan tidak berfakta, akan menjejaskan kedaulatan parlimen dan tadbir urus negara. Tidak tepat jika kita memandang remeh kepentingan jawapan menteri ini kepada parlimen dan tidak membuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini.

Untuk membentuk sebuah kerajaan bertanggungjawab, pendekatan menteri dalam menjawab pertanyaan di parlimen perlu berubah, daripada seorang menteri yang kerap membaca teks jawapan secara bulat-bulat kepada menteri yang mampu memberi penjelasan secara terbuka dan terperinci dalam menerangkan sesuatu dasar di parlimen.

Ini tidaklah bermaksud setiap menteri perlu menghafal teks jawapan ketika menjawab pertanyaan ahli parlimen. Dokumen atau teks jawapan yang disediakan cukup sekadar rujukan menteri bagi membentangkan angka-angka, statistik, atau fakta yang agak teknikal ketika sesi pertanyaan atau penggulungan parlimen.

Advertisement

Apa lagi yang boleh dibuat?

Perubahan ini juga lebih bermakna sekiranya penjawat awam, yang ditugaskan menyediakan jawapan buat menteri di setiap kementerian, mengubah cara menjawab pertanyaan di parlimen ke arah lebih infomatif dan berfakta. Penyediaan jawapan panjang lebar tanpa maklumat yang terperinci daripada kementerian bukanlah satu pendekatan efektif dalam membantu ahli parlimen memahami sesuatu isu yang berlaku.

Apabila menteri mampu memberi jawapan yang berfakta, terbuka menerima teguran daripada ahli parlimen, ia akan membentuk perbahasan yang berkualiti di parlimen. Kemampuan menteri dalam memberikan jawapan secara telus akan meningkatkan keyakinan orang awam akan kredibiliti kerajaan dalam memimpin negara.

Advertisement

Selain itu, Speaker parlimen perlu memainkan peranan penting dalam hal ini. Faktanya, Speaker parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau mengkritik jawapan diberikan menteri.

Tetapi, Speaker boleh menegur jemaah menteri yang membaca teks jawapan panjang lebar sehingga tidak memberi pengisian bermakna dan lebih mengelirukan ahli parlimen. Tidak wajar Spekaer parlimen mengejar masa sehingga membenarkan menteri membaca teks jawapan tanpa menghiraukan teguran daripada ahli parlimen.

Untuk jangka masa panjang, terdapat keperluan untuk menyemak semula Peraturan Mesyuarat yang dilihat melindungi menteri daripada menjawab pertanyaan parlimen.

Advertisement

Contohnya, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) 23(4) yang memberi kuasa kepada Speaker Dewan Rakyat membenarkan menteri tidak menjawab pertanyaan ahli parlimen yang melibatkan kepentingan awam. Malah, kuasa Speaker ini tidak boleh dicabar atau disoal. Peraturan seperti ini tidak lagi relevan dan boleh disalahgunakan untuk melindungi menteri yang tidak mampu menjawab pertanyaan parlimen secara telus.

Saya kira, sesi pembentangan Belanjawan 2022 yang akan bermula pada 29 Oktober ini adalah peluang terbaik bagi jemaah menteri dan penjawat awam membawa pembaharuan dalam menyampaikan jawapan di parlimen.

Jika boleh, janganlah ada lagi menteri yang masih membaca teks jawaban di parlimen. Saya optimis, perubahan kecil dalam memperbaharui pendekatan dalam menjawab pertanyaan parlimen akan memberi impak positif kepada perjalanan parlimen yang lebih bermakna.

Advertisement

Fakhrurrazi Rashid merupakan penyelaras penyelidik REFSA

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top