BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Undi 18 penting untuk dinamika politik Malaysia

Sheikh-Omar-Adun-Paloh.jpg

Gambar Ehsan The Star

Advertisement

Oleh: Sheikh Umar Bagharib Ali

Regenerasi ahli politik di Malaysia sebenarnya agak perlahan. Ramai mengeluh dengan situasi Parlimen dan DUN seluruh negara yang didominasi oleh generasi tua. Kita harus terima hakikat bahawa tidak ada parti politik yang imun daripada masalah regenerasi politik ini kerana ia berlaku pada tahap sistemik.

Faktanya, hanya terdapat 27 dan 28 orang Ahli Parlimen di Malaysia sejak tiga Pilihan Raya Umum yang terakhir berusia antara 21 hingga 40 tahun dengan kebanyakan daripada mereka berusia antara 36-40 tahun. Dengan kata lain, 50% rakyat Malaysia di bawah umur 40 tahun hanya mendapat perwakilan 12% di parlimen – sangat tidak seimbang dari segi nisbah. Jika dicerakinkan mengikut parti politik, kebanyakan ahli parlimen yang berusia bawah 40 tahun datangnya daripada Pakatan Rakyat / Pakatan Harapan.

Advertisement

Statistik ini jauh lebih rendah berbanding dengan situasi antarabangsa di mana 17.5 peratus ahli parlimen di dunia berada bawah usia 40 tahun dan 30.2 peratus di bawah 45 tahun. Sebagai contoh, berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Inter-Parliamentary Union pada tahun ini, Norway merupakan antara negara dengan amalan terbaik di dunia kini pada tahap 13 peratus ahli parlimen di bawah 30 tahun dan Armenia dengan 57 peratus ahli parlimen bawah usia 40 tahun.

Antara amalan yang membolehkan lebih ramai ahli politik muda berada di peringkat nasional adalah umur mengundi yang rendah. Umur mengundi di Norway dan Armenia ialah 18 tahun. Tetapi di Norway, umur mengundi bagi 20 pilihan raya kerajaan tempatan sejak tahun 2011 telah diturunkan kepada 16 tahun dengan kadar keluar mengundi yang menggalakkan – hampir sama dengan kohort umur lainnya.

Malaysia sebenarnya telah tertinggal gelombang pendemokrasian belia (youth suffrage) yang pertama ketika tahun 1970-an apabila banyak negara di dunia menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Pada tahun 1969, Kerajaan Buruh Harold Wilson di UK menjadi negara pertama menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Advertisement

Meskipun di Malaysia ada berlakunya perbahasan dalam Parlimen selepas penggantungan Parlimen antara tahun 1969 hingga 1971, namun ia tidak membawa kepada sebarang perubahan.

Pada saat kita masih berdolak-dalih dan tawar-menawar mengenai Undi 18, dunia sebenarnya telah pun memasuki gelombang hak mengundi belia kali kedua iaitu untuk menurunkan had umur kepada 17 atau 16 tahun.

Kematangan belia telah berubah mengikut peredaran zaman

Advertisement

Sejak tahun 1970-an, Malaysia telah mengalami transformasi sosial agak pesat yang dipacu oleh industrialisasi dan urbanisasi. Ia memberi kesan langsung kepada belia di mana peratusan belia dengan pendidikan tertiari (IPT) meningkat daripada 3.8 peratus pada 1979 kepada 43 peratus pada 2019. Pada masa yang sama kohort umur 15 tahun hingga 24 tahun membentuk 45 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh di Malaysia pada tahun 2019.

Pada tahun 2020 pula, 19.7 peratus belia berusia 15-19 tahun dan 63.8 peratus belia berusia 20-24 tahun terlibat dalam tenaga buruh. Ini bermakna, lebih 20 peratus daripada belia Malaysia yang telah menyumbang secara aktif dalam ekonomi tanpa memiliki hak bersuara dalam pilihan raya.

Mitos belia tidak berminat dengan pilihan raya

Advertisement

Mitos ‘belia tidak berminat dengan pilihan raya’ sebenarnya hanyalah bersandarkan kepada hujah yang tiada asas jelas dan sering dikelirukan dengan dua pandangan. Pertama, banyak kaji selidik dan kajian yang menunjukkan belia tidak berminat dengan politik. Kedua wacana ‘youth surffrage’ di negara maju yang menunjukkan wujudnya jurang keluar mengundi antara generasi muda dan tua.

Ramai yang memetik Indeks Belia Malaysia (IBM – Malaysian Youth Index) yang diterbitkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak tahun 2006. Indeks memperlihatkan dari segi Domain Sosialisasi Politik, penyertaan politik dalam kalangan belia sangat rendah dan begitu juga dengan perbincangan tentang isu politik. Malah telah mencapai tahap terendah pada 2019.

Namun, kajian-kajian ini banyak yang menggunakan kerangka penyertaan politik yang bersifat konservatif – penyertaan dalam parti politik – dan menunjukkan belia sebenarnya lebih kritikal serta pesimistik terhadap politik. Bukan tidak berminat dengan politik.

Advertisement

Buktinya, angka-angka peratusan keluar mengundi bagi setiap kumpulan usia di Malaysia tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan antara Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Keseluruhan pengundi dari kelompok berusia 21 tahun hingga 69 tahun mencatatkan peratusan keluar mengundi antara 84% hingga 85.7% pada PRU 2013 dan 80.1 peratus hingga 84.4 peratus pada PRU 2018.

Tidak sebagaimana yang berlaku di banyak negara maju, di mana adanya jurang generasi yang besar dari segi jumlah keluar mengundi. Di UK umpamanya, kadar keluar mengundi bagi kohort umur 18-24 tahun dan 25-34 tahun adalah sekitar 50 peratus berbanding sekitar 60 peratus bagi kohort 35-44 tahun dan sekitar 70 peratus bagi kohort 45-54 (British Election Study, 2019).

Di luar politik pilihan raya pula, dapat diperhatikan bahawa belia di Malaysia merupakan teras kepada dua gerakan sosial paling besar dalam tempoh 20 tahun terakhir ini yang banyak memberi kesan terhadap politik pilihan raya – Reformasi (1998) dan siri demontrasi BERSIH (2007-2016).

Advertisement

Malah, jika kita percaya bahawa belia tidak berminat dengan politik, maka seharusnya undi18 ini dipercepatkan untuk meningkatkan minat dan kesedaran mereka, bukan sebaliknya!

Undi 18 sebagai ‘game changer’ politik Malaysia

Dari angka-angka yang telah dinyatakan, maka tidak dapat dinafikan bahawa Undi-18 dan penglibatan belia merupakan perkara penting dalam mencorakkan hala tuju politik Malaysia. Bahkan bagi saya, Undi18 ialah ‘game changer’ naratif politik Malaysia ke hadapan ini. Saya nyatakan sekurang-kurangnya 3 aspek untuk melihat Undi18 sebagai ‘game changer’ naratif politik kita.

Advertisement

Pertama, sudah masanya politik Malaysia keluar dari perseteruan politik lama. Dari dulu politik kita masih berkisar watak-watak lama. Bukan bermaksud watak pemain politik lama ini tidak penting, tetapi Malaysia perlu ada nafas baru. Mereka yang muda tidak memiliki beban sejarah dan pergelutan politik lama yang tidak berkesudahan.

Kedua, banyak isu pada masa kini berkisar tentang anak muda. Anak muda menerima kesan langsung dari sebarang dasar yang dirangka pada masa ini. Lebih-lebih lagi dalam masa krisis kesihatan dan ekonomi, ramai anak muda yang terkesan.

Justeru, anak muda atau belia harus dilibatkan secara langsung dalam proses demokrasi bermula dari soal mengundi sehinggalah dibenarkan menjadi calon seawal usia 18 tahun bagi memastikan isu-isu yang diangkat selari dengan keperluan generasi anak Malaysia.

Advertisement

Ketiga, hanya anak muda harapan terakhir kita untuk keluar daripada polemik politik perkauman dan komunalisme sempit yang mengheret seluruh bangsa Malaysia ini daripada maju ke hadapan.

Lebih mudah untuk kita melakar naratif budaya politik baru dalam generasi muda yang mahu keluar daripada politik perkauman ini. Mereka kini berhadapan dengan cabaran nyata daripada perubahan ekonomi dunia, kepesatan teknologi dan kemunculan ancaman trans-nasional bukan-konvensional seperti pandemik kesihatan, kedaulatan makanan dan pemanasan global.

Jika kita tidak mahu mula mengiktiraf isu-isu ini dan enggan memberi peluang kepada generasi baharu, maka kita akan sekali lagi tertinggal gelombang pendemokrasian belia untuk kali kedua.

Advertisement

Sheikh Umar Bagharib Ali merupakan Adun Paloh, Johor merangkap Naib Pengerusi DAP Johor

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top