BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Sumber air semulajadi Bukit Payung bakal musnah

bukit-payung-puncak.jpg
Advertisement

Oleh: Iltizam Iman

Sepanjang Disember 2019 sehingga April 2020 penduduk Parit Sulong terutamanya kampung di sekitar Bukit Payong sudah dua kali terpaksa berdepan banjir kilat yang amat teruk akibat aktiviti penggondolan hutan. Ini termasuk aktiviti kuari dan pembinaan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Bukit Payung.

Laluan air yang seharusnya jernih dan bersih di Parit Puron telah menjadi merah dan berlumpur akibat hakisan tanah dari tapak rancangan pelupusan sampah yang memakan ruang lebih 40 hektar.

Advertisement

Keadaan yang dapat dilihat sekarang memberikan gambaran buruk apabila sampah-sarap mula dimasukkan nanti. Anggaran sampah yang bakal dibawa masuk ke Bukit Payong adalah sebanyak 650 tan sehari selama 7 tahun.

Gambaran buruk pencemaran ini timbul bukanlah atas ketidakfahaman penduduk terhadap rancangan kerajaan, tetapi atas penilaian dan pertimbangan rasional yang menitikberatkan kepentingan masyarakat, alam sekitar, pertanian, penternakan dan sosio-ekonomi tempatan. Jika ada, yang tidak faham atau tidak mahu faham itu adalah kerajaan. Kerajaan yang hanya menitikberatkan kepentingan sendiri dan tidak peduli masalah rakyatnya.

Perkara ini dapat diketahui melalui DEIA yang dijalankan oleh UTM bawah pemantauan JPSPN. Tetapi DEIA pada tahun 2012 ini adalah laporan bagi sistem Tapak Pelupusan Sanitari, sangat berlainan dengan Sisa ke Tenaga atau Waste to Energy (WTE) seperti rancangan kerajaan sekarang.

Advertisement

Entah bagaimana pada waktu perjumpaan pihak kerajaan negeri dengan penduduk pada 7 Jun 2019, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin menyatakan pihak kerajaan tidak perlu mengeluarkan kajian DEIA baru untuk pertukaran sistem ini; walaupun cara kerja dan kesannya jauh berbeza. Tempoh sah DEIA tersebut telah luput lebih 5 tahun.

Mungkin kerana kerajaan telah sedia maklum kesan buruk yang bakal menimpa berdasarkan DEIA sedia ada, dan betapa susahnya untuk memutar-belit fakta agar DEIA projek dapat diluluskan. Tapi atas alasan kerajaan masih berkeras mahu menggunakan DEIA yang sudah basi dan tidak relaven tersebut, maka terpaksa kita melihat semula perincian dan permasalahan yang ada di dalam analisa “asal boleh” itu.

Terdapat dua impak berpotensi terhadap pengairan, iaitu pelepasan air sampah ke tanah (air larut resap) dan banjir. Tetapi air larut resap yang dapat mencemarkan alam sekitar, dikatakan hanya sejumlah kecil yang terserap memandangkan aliran minimum sepanjang tempoh kritikal adalah sangat rendah. Berdasarkan andaian perunding EIA, selepas pembinaan siap, akan ada kira-kira 20 peratus kawasan yang tidak serap air. Ini akan menjadikan masalah banjir sedia ada bertambah parah.

Advertisement

Air terjun Bukit Payung (Gambar Ehsan Mohd Ismail Abdul Kadir)

Bagi mengawal masalah ini, kerajaan mencadangkan untuk menggunakan saluran simpanan air semula jadi di Parit Puron. Sistem tali air semulajadi ini akan ditambah dengan salur kawalan air (jalur penampan) yang berukuran 20 m pada setiap sisi tebing Parit Puron. Mempunyai panjang kira-kira 500 meter dan kedalaman tak melebihi 3 meter. Jalur penampan ini berfungsi sebagai in-line flood storage semasa hujan lebat.

Cadangan salur keluar air dari jalur penampan in-line flood storage ini adalah dengan membina empangan yang mempunyai bukaan berdiameter 0.5 meter. Kerana terdapat takungan air semula jadi di Parit Purun, dijangkakan akan mengurangkan risiko kadar air rendah (cetek) di parit Puron. Semasa kadar aliran air rendah, sisa air sampah yang telah dirawat akan disalurkan ke Parit Puron dan membentuk takungan air dalam saluran penyimpanan di situ. Takungan ini hanya akan melimpah sewaktu hujan lebat yang mengakibatkan takungan air melebihi paras 0.5 meter.

Potensi masalah seterusnya berkaitan air sampah ini, terdapat beberapa aktiviti di bawah sektor pertanian yang memanfaatkan sumber air bersih Parit Puron akan terjejas. Petani dan peladang yang terjejas bekalan air mereka akan diberi pampasan. Perunding EIA mencadangkan agar petani dan peladang yang memanfaatkan sumber air bersih percuma yang semula jadi ini agar beralih kebergantungan mereka kepada bekalan air yang disediakan Syarikat Air Johor (SAJ).

Advertisement

Perunding EIA juga telah mengenal pasti Parit Beleman boleh menggantikan salur takungan air sampah di Parit Puron, jika kerajaan tidak mahu menjejaskan aktiviti pertanian yang memanfaatkan sumber air Parit Puron. Tetapi jarak tapak projek dengan parit tersebut sejauh 500 meter akan memakan kira-kira RM21 juta kos pembinaan. Yang mana jauh lebih tinggi dari harga pampasan yang mampu dibayar. Maka, Parit Puron jugalah yang paling sesuai untuk dijadikan takungan air sampah jika dipertimbangkan dari sudut hidrologi dan ekonomi.

Dalam laporan itu lagi, di bahagian Air Larut Resapan (8.3.2), halaman 33, dinyatakan aktiviti pertanian yang terjejas bukanlah disebabkan oleh rosaknya kualiti air, tetapi disebabkan bekalan air akan semakin berkurangan. Di bahagian ini memperlihatkan tiada pencemaran air yang akan berlaku di sini, seolah tiada masalah. Tetapi tidak di bahagian 8.3.2.1, menyatakan terdapat lebih dari empat potensi kesan pencemaran yang disebabkan air sampah ini. Ia juga berisiko kepada air di permukaan dan air di bawah tanah. Sebenarnya terdapat banyak potensi pencemaran yang akan tercipta dari penghasilan air sampah ini, oleh sebab itu hanya beberapa potensi penting yang dapat dinyatakan di sini:-

1. Air sampah mempunyai banyak kandungan berbahaya seperti BOD, COD dan kadar ammonia nitrogen yang tinggi. Ini akan menjejaskan air di permukaan dan ekosistem hidupan air.

Advertisement

2. Kesan air sampah yang tidak dirawat akan mencemar dan menjejaskan kualiti permukaan air dengan sangat ketara. Ini kerana kadar aliran air di Parit Puron adalah rendah dan perlahan.

3. Penyerapan air sampah ke dalam tanah dari tapak pelupusan itu akan mencemarkan air bawah tanah serta tanah di kawasan itu.

4. Kadar penyerapan air adalah rendah di kawasan itu, walaupun air bawah tanah kurang tercemar, tetapi ia tetap akan meningkatkan risiko pencemaran berbahaya kepada kesihatan penduduk melalui banjir kilat yang berlaku setiap tahun.

Advertisement

5. Sifat air sampah adalah berasid dan boleh menghakis, ianya mampu untuk menghakis peralatan logam yang digunakan seterusnya meningkatkan kadar pencemaran yang berlaku di dalam air.

Kesan air sampah kepada alam sekitar dapat dikurangkan dengan meminima penghasilan air sampah dengan mengalihkan air hujan jauh dari tapak pelupusan dan menyediakan penutup yang dapat mengurangkan jumlah air yang meresap ke dalam tapak pelupusan. Seterusnya, air sampah akan dikumpul menggunakan sistem pelapik bagi mengurangkan jumlah air sampah yang perlu dirawat. Air sampah mentah yang terkumpul akan disalurkan secara graviti ke dalam tangki pengimbang dan kemudiannya disalurkan pula ke loji rawatan. Loji rawatan air sampah ini pula perlu dikendalikan mengikut spesifikasi reka bentuk dan piawaian berdasarkan Peraturan 13 di bawah Kualiti Alam Sekitar Peraturan 2009.

Tetapi secara nyata, adakah masyarakat yang betul-betul percaya Peraturan Kualiti Alam Sekitar ini telah dilaksanakan kerajaan dengan betul? Adakah pihak kerajaan sudah membuktikan peraturan ini dipatuhi oleh mereka sendiri?

Advertisement

Apa yang kita dapat lihat sekarang hanyalah kecuaian kerajaan dalam menguruskan sisa sampah. Dari pencemaran di Pasir Gudang, masalah tapak pelupusan di Simpang Renggam, pencemaran bau yang sedang berlaku di tapak pelupusan Seelong, Majlis Daerah Batu Pahat yang tidak peduli sistem pengurusan sampah di keseluruhan kampung, adalah sebahagian kecil bukti nyata yang kerajaan tidak mampu dan mahu untuk uruskan. Jelas di sini bahawa Akta 127 Kualiti Alam Sekitar hanyalah sebagai bahan eksploitasi golongan berkepentingan.

Apakah alasan sebenar kerajaan bersungguh-sungguh ingin membina Tapak Pelupusan Sisa ini di atas tanah yang kaya dengan sumber alam ini? Keadaan yang sedia ada telah cukup berpotensi untuk membangunkan ekonomi masyarakat, tidak perlu ditambahkan lagi dengan pusat pelupusan sampah yang terang-terangan mencipta risiko kepada masyarakat, sejarah dan sumber air bersih semula jadi.

Walaupun sistem pengurusan sampah ini menandakan manusia telah mencapai kemajuan, tetapi membinanya di atas tapak berpotensi sebagai khazanah negara tanpa mempedulikan suara orang ramai adalah sebuah perhambaan dan penjajahan, bukanlah sebuah tanda kemajuan, apatah lagi jika hendak dikatakan sebagai pemerintahan sebuah kerajaan yang beradab.

Advertisement

SUMBER:
1. DEIA for Proposed Sanitary Landfill at Bukit Payong, Batu Pahat, Johor
2. https://www.facebook.com/Gerakan-Selamatkan-BUKIT-Payung-519090028441550/
3. https://m.malaysiakini.com/news/491691
4. https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/60500

Iltizam Iman merupakan penulis yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Beliau telah menerbitkan sebuah buku berjudul “Menolak Perintah : Catatan dan Esei Mencari Nafas Pembebasan”.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top