BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Rakyat mahu keputusan bijaksana

rakyat-malaysia-covid-19-facemask-pelitup-muka.jpg

Gambar Ehsan Nikkei Asia

Advertisement

Oleh : Muhamad Said Jonit

Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 merupakan langkah yang diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengawal penularan COVID-19.

Malah pengistiharan ‘Darurat’ telah juga dilaksanakan. Mungkin kerajaan PN berpendapat ia dapat melancarkan tugas mereka. Kini PKP 2.0 dan Darurat berlangsung apakah tindakan yang dilaksanakan benar-benar mencapai objektifnya?

Advertisement

Hakikatnya krisis yang dihadapi kini bukanlah sahaja virus COVID-19, malah ia mengancam ekonomi, sosial, politik dan pelbagai lagi bidang yang penting dalam kehidupan kita.

Sistem pendidikan kita juga berada dalam keadaan yang membimbangkan. Arahan-arahan yang berubah-ubah dan tidak berwibawa menyebabkan ibu bapa, guru dan pemegang taruh semakin risau dengan tahap pendidikan anak-anak ketika pandemik ini.

Pelbagai isu tidak dapat ditangani dengan cemerlang oleh mereka yang bertanggungjawab. Isu para pelajar yang tidak mempunyai kemudahan komputer atau peranti yang membolehkan mereka belajar secara atas talian amat membimbangkan.

Advertisement

Sebagai contoh Kuala Lumpur, bandaraya paling maju di Malaysia mencatatkan kira-kira 37 peratus pelajar yang tidak mempunyai peranti untuk membolehkan mereka belajar secara atas talian. Bagaimana pula pelajar luar bandar yang lazimnya lebih ketinggalan daripada pelajar bandar?
Dianggarkan 1.8 juta pelajar akan ketinggalan didalam proses pembelajaran secara online ini. Kerajaan telah mengumumkan akan memberikan komputer riba kepada para pelajar. Adakah ini mencukupi dan bilakah pelajar boleh menerima peranti ini?

Selain itu ada juga pelajar yang mempunyai peranti tetapi sambungan internet yang lemah dan ada juga tidak mempunyai capaian internet. Bukan sahaja di luar bandar, tetapi terdapat juga kawasan bandar yang tahap capaian internet amat mengecewakan.

Di waktu pandemik ini kita akur dengan arahan agar tidak mengadakan acara pada skala besar, justeru itu mungkin pembinaan dewan-dewan orang ramai yang gah dan indah boleh ditangguhkan buat sementara waktu dan memberi perhatian kepada perkara yang lebih utama.

Advertisement

Kita perlu mengakui pembelajaran secara interpersonal dan bersemuka dengan guru adalah yang terbaik. Walaupun begitu, masih ada pelajar yang culas, lalai dan ponteng.

Bagaimana pula dengan pembelajaran atas talian ini? Apakah strategi KPM untuk memastikan penerimaan dan penglibatan para pelajar?
Bagaimana pula dengan kualiti pembelajaran yang diterima oleh pelajar?

Apa yang pasti akhirnya para guru juga yang berhempas pulas memastikan pelajar mereka mendapat pendidikan yang terbaik. KPM perlu memberikan penyelesaian kepada masalah ini dan pada masa yang sama memastikan beban kerja guru berada ditahap yang optimum.

Advertisement

Penyelesaian masalah pembelajaran atas talian ini jika kita fikirkan mungkin berada di hadapan kita selama ini, televisyen boleh didapati hampir 99 peratus rumah di Malaysia. Kerajaan melalui KPM boleh mewujudkan pembelajaran lengkap secara siaran langsung atau rakaman dan dipaparkan di saluran televisyen.

Malah kos untuk membuat siaran langsung atau rakaman adalah lebih jimat dan kualiti pengajaran boleh dipantau dengan lebih baik. KPM boleh menggunakan khidmat guru terbaik dalam pengajaran malah boleh ditambah baik dengan visual dan audio tambahan.

Guru sekolah boleh memberi tumpuan kepada aspek lain dalam pembelajaran iaitu memantau tahap pemahaman pelajar melalui lembaran tugasan yang boleh diberikan kepada pelajar secara penghantaran dirumah atau melalui penjaga.

Advertisement

Saya masih ingat beberapa tahun dahulu TV Pendidikan merupakan salah satu stesen yang boleh ditonton oleh pelajar. Kaedah pembelajaran seperti ini telah ada, di Astro Tutor TV, RTM Okey dan NTV7, namun ia masih belum menyeluruh dan hanya untuk beberapa subjek tertentu.

Dengan kepakaran dan kemudahan yang ada saya yakin pembelajaran melalui televisyen ini boleh dilaksanakan. Jika stesen TV kerajaan dan swasta boleh menyiarkan rancangan hiburan tanpa had 24 jam kenapa tidak boleh menyiarkan rancangan pembelajaran tanpa had 24 jam?

Jika benar-benar ingin memanfaatkan status darurat, inilah masa kerajaan untuk mengarahkan syarikat penyiaran swasta untuk menjayakan agenda pendidikan negara diwaktu COVID-19.

Advertisement

Penyelesaian sesuatu masalah adakalanya bukan satu,tetapi mungkin dua atau lebih. Oleh itu KPM boleh melaksanakan pembelajaran secara atas talian dan disokong dengan pembelajaran melalui saluran televisyen, dengan ini pasti lebih tinggi peratusan pelajar yang dapat menimba ilmu.

COVID-19 merupakan ujian dan amaran kepada kerajaan agar sentiasa bersiap sedia dalam pelbagai bidang utama. Saya berharap agar kerajaan dapat menyediakan pelan pelaksanaan atau strategi pembelajaran diwaktu darurat dengan lebih lengkap dan jelas pada masa akan datang.

Pelajar diminta untuk berfikir secara ‘aras tinggi’ kini rakyat mahukan ahli-ahli politik yang mengepalai kementerian agar berfikir secara ‘aras tinggi’ untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Advertisement

Adakah mereka berfikir terlalu tinggi ‘aras’nya sehingga penyelesaian yang sepatutnya dilakukan dengan mudah tidak terlintas difikiran mereka?

Saya amat terharu dengan keprihatinan Ustaz Ebit Lew kerana menyumbang 100 unit peranti tablet untuk pelajar memerlukan, namun beliau menerima 43 ribu permohonan untuk peranti tersebut. Selain itu juga Mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang terus memperjuangkan nasib pelajar.

Marilah kita bersama-sama memastikan pelajar kita tidak tercicir. Laporkan kes murid yang tercicir melalui googe form di bit.ly/laporkesmuridcicir agar maklumat mereka dapat dikumpulkan.

Advertisement

Pejabat ADUN Mahkota juga akan menyediakan ruangan belajar khas untuk pelajar yang memerlukan tempat untuk mengulangkaji bermula apabila tamat PKP 2.0. Ruangan belajar dan santai ini akan dilengkapi wifi internet kelajuan tinggi untuk memudahkan proses pembelajaran.

Kerajaan perlul memikirkan sentimen dan perasaan rakyat, janganlah memandang ringan perasaan kami. Isu perayaan juga sebahagian daripada isu yang menjadi perhatian rakyat.

Apakah penyelesaian yang akan diambil oleh kerajaan untuk menghadapi musim perayaan yang akan tiba nanti? Bulan Februari orang Cina akan merayakan Tahun Baru Cina, kemudian umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Advertisement

Adakah kerajaan telah memikirkan tindakan yang terbaik untuk dilaksanakan atau terus mengambil langkah mudah iaitu tiada sambutan perayaan? Tiada solat Tarawikh, tiada balik kampung dan atau mengambil langkah seperti kerajaan negeri Kedah yang membatalkan terus cuti perayaan Thaipusam?

Bukan kita tidak mahu berkorban demi keselamatan, tetapi adakah kerajaan ada memikirkan langkah yang lebih kreatif dan efektif? Jangan pula rakyat diminta jangan balik kampung, tetapi kemudian tular video dan gambar para menteri dan kluster kayangan bersuka ria di kampung halaman mereka.

Rakyat memohon kerajaan memikirkan kaedah terbaik. Kuasa yang dipegang oleh pemimpin kerajaan bukan sekadar untuk membuat keputusan, tetapi untuk membuat keputusan terbaik pada waktu yang sukar. Rakyat sudah bosan dengan keputusan yang separuh masak.

Advertisement

COVID-19 telah merencatkan ekonomi, alasan ini boleh digunakan pada tahun 2020, semakin lama alasan ini semakin basi kerana terdapat banyak negara telah mencatatkan pemulihan ekonomi. Indonesia sebagai contoh semakin maju dan semakin meningkat ekonomi mereka.
Adakah kita masih mahu menggunakan alasan COVID-19 terhadap kejatuhan kita secara terus menerus?

Jika ekonomi terus jatuh ia hanya bermakna kesilapan dan kelemahan kita dalam membuat keputusan. Tidak perlu saya mengulas mengenai kelemahan pelaksanaan PKP, sudah habis ayat dikeluarkan intelektual, rakyat marhean merangkap warga maya.

Kita tidak boleh mengharapkan hasil yang berbeza dengan tindakan yang sama. Terdapar media melaporkan kemungkinan penutupan ekonomi secara keseluruhan terpaksa dilaksana selepas 4 Februari 2021 jika tiada tanda pemulihan dari segi kes jangkitan.

Advertisement

Apakah kesannya terhadap ekonomi negara kita? Sekiranya jumlah kes berjaya diturunkan adakah kerajaan akan mengulang kesilapan dengan mengadakan PRU? Pasti kes akan meningkat semula.

Masa terus berjalan, ekonomi semakin tenat, pelajar semakin terabai jika pihak yang membuat keputusan tidak membuat keputusan yang bijaksana. Yang pasti rakyat semakin sedar tahap pemikiran mereka, adakah ‘aras tinggi’ atau ‘aras rendah’.

Sebagai ADUN pembangkang, bukanlah suara dan cadangan kami menjadi keutamaan. Namun tetap menjadi tanggungjawab kami menyuarakan kegusaran rakyat marhaen dan memohon rakyat memikirkan penyelesaian masalah ini bersama.

Advertisement

Diharap para pemimpin dapat terus memikirkan kepentingan rakyat lebih daripada yang lain.

Muhamad Said Jonit merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Mahkota, Johor

Rencana ini dipetik dari laman Facebook Muhamad Said Jonit (MSJ)

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top