Oleh : Hassan Abdul Karim
Sistem Parlimen Malaysia dalam banyak segi menyerupai sistem Parlimen Westminster, atau sistem Parlimen British.
Satu daripada cirinya ialah sesebuah kabinet kerajaan berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility).
Apabila kabinet telah membuat sesuatu keputusan, maka semua menteri kabinet wajib berpegang dan menyokong keputusan itu. Kalau tidak bersetuju, maka menteri itu perlu meletakkan jawatan.
Adakah prinsip tanggungjawab bersama ini dipegang oleh kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang? Jawapannya tidak.
Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaacob mengumumkan semua operasi sektor ekonomi yang tidak penting ditutup semasa Perintah PKP sepenuhnya (Lockdown) berkuatkuasa dari 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021. Ini keputusan Kabinet.
Tetapi kabinet kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin memberi kuasa pengecualian pula, hanya kepada seorang menteri kabinet yang lain iaitu Azmin Ali, Menteri Kanan Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) untuk meluluskan permohonan operasi sektor ekonomi yang tidak penting. Keputusan kabinet kerajaan PN ini mengundang kelam-kabut.
Jadi berlakulah apa yang terjadi sekarang. Seorang menteri kanan menutup pintu hadapan, manakala seorang menteri kanan yang lain membuka pintu belakang.
Ini bukan legasi sistem kerajaan Malaysia di Putrajaya. Ini adalah satu sistem kabinet yang huru-hara.
Mengapa fenomena kerajaan caca marba ini berlaku?
Pertama: Inilah kesannya apabila parlimen Malaysia digantung dan dilarang bersidang.
Kedua: Inilah kesannya kerajaan PN yang tiada keabsahan, tiada majoriti yang jelas di Parlimen terus berkuasa dengan berselindung di belakang Proklamasi Darurat.
Ketiga: Inilah kesannya jika prinsip pengasingan kuasa dan sistem semak dan imbang dinafikan.
Kesudahannya apa? Kesudahannya ialah Putrajaya kini berubah menjadi Putragagal.
Inilah tanda dan bukti sebuah kerajaan yang gagal.
Hassan Abdul Karim merupakan ahli parlimen Pasir Gudang
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini