BM | EN | 中文

[PANDANGAN] PRN Johor bukan eksperimen

hassan-karim-pkr-pasir-gudang.jpeg

Gambar Ehsan Malaysiakini

Oleh: Hassan Karim

Ini bukan satu pilihanraya kecil di mana hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi pertaruhan.

Ini satu pilihanraya umum di peringkat seluruh negeri Johor yang melibatkan 56 DUN. Ini pilihanraya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri Johor bagi tempoh lima tahun dari 2022 hingga 2027.

Tiga gabungan parti politik yang besar terlibat dalam PRN Johor kali ini iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Ketiga-tiga gabungan politik ini mempunyai pengalaman dalam mentadbir kerajaan Negeri Johor. BN paling lama memerintah di Johor sehingga ia ditumbangkan pada tahun 2018 dalam pilihanraya umum ke-14.

Manakala PH mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan Johor selama 22 bulan sehingga ia ditumbangkan angkara pengkhianatan melalui Langkah Sheraton pada bulan Februari tahun 2020.

PN yang terdiri daripada Parti Bersatu juga ada pengalaman mentadbir di Johor ketika berada di dalam gabungan PH dan kemudian dalam kerajaan campuran BN-PN selepas Langkah Sheraton.

Jadi tiga buah gabungan politik ini, BN, PH dan PN merupakan pencabar utama dalam pilihanraya negeri Johor kali ini.

PH ketika mentadbir Johor selama 22 bulan ada kelemahan dan kegagalan juga. Fakta ini tidak dinafikan malah perlu diakui. Tetapi PH berjaya dalam banyak perkara ketika mentadbir Johor kurang dua bulan selama dua tahun.

Satu perkara yang menjadi kejayaan utama kerajaan PH di Johor ialah dari segi menarik pelaburan asing (FDI).

Kerajaan PH telah mengadakan lawatan menarik pelaburan asing secara agresif dalam tempoh 22 bulan ia berkuasa. Hampir setiap bulan Exco kerajaan negeri Johor yang bertanggungjawab dalam perusahaan antarabangsa telah dihantar ke beberapa pusat ekonomi dunia untuk membawa pelaburan ke Johor.

Hasil dari usaha yang bersungguh-sungguh itu, maka negeri Johor telah muncul sebagai negeri yang paling banyak menarik modal asing dari pertengahan tahun 2018 sehingga awal tahun 2020 sebelum kerajaan PH Johor ditumbangkan angkara pengkhianatan politik.

Kejayaan ini adalah fakta, bukan retorik, bukan propaganda pilihanraya.

Jadi dalam pilihanraya negeri Johor sekarang ini, KEADILAN dan PH menawarkan diri supaya dipilih sekali lagi oleh rakyat Johor.

Hassan Abdul Karim merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top