BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Pilihan di tangan PM, sidang segera atau letak jawatan

Hassan-Abdul-Karim-MP-Pasir-Gudang.jpeg
Advertisement

Oleh: Hassan Karim

Notis Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Malaysia Keempat Belas telah dikeluarkan secara rasmi oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bin Bacha Mydin bertarikh 6 Ogos 2021. Notis tersebut memaklumkan persidangan bermula pada 6 September 2021 dengan Perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebagaimana telah dimaklumkan kepada umum bahawa Perdana Menteri Mahiaddin Yassin menyatakan satu usul Undi Percaya ke atasnya akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan September depan ketika Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat tersebut.

Advertisement

Persoalan timbul sekarang dari perkembangan politik yang begitu dinamik dan pantas berubah dari hari ke hari, malahan kini dari jam ke jam, kelihatan semakin ramai ahli-ahli parlimen Umno yang dahulu menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional, tetapi kini telah menarik balik sokongan; seorang demi seorang.Beberapa orang menteri Kerajaan Perikatan Nasional dari Umno telah meletakkan jawatan.

Pengumuman menarik balik sokongan itu tidak lagi melalui surat ataupun Akuan Berkanun (SD) tetapi semakin canggih melalui PDF, Video dan sidang akhbar secara Facebook live yang ditularkan kepada umum. Tidak ada lagi rahsia seperti surat dan SD sebelum ini.

Dalam masa yang sama dua sidang media dari dua kelompok ahli parlimen Umno, satu diketuai oleh Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno dua hari lalu, dan hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yacob membuka ruang sejelas-jelasnya untuk umum mengira berapa jumlah sokongan sebenar ahli-ahli parlimen dari Umno terhadap Perdana Menteri Mahiaddin Yassin.

Advertisement

Daripada perkiraan yang mudah tanpa perlu menjadi pakar matematik,Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri dengan tanpa sengaja dan bukan niatnya, beliau telah mendedahkan sejelas terang hablur kristal bahawa ahli parlimen Pagoh, Mahiaddin Yassin telah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam situasi seperti ini, jika di dunia perundangan dipanggil judicial notice, adalah tepat sekali jika sidang parlimen disegerakan. Yang telah ditetapkan persidangan bermula pada 6 September itu, boleh dikekalkan. Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong dalam Majlis Perasmian pada 6 September itu dikekalkan. Tetapi kerana faedah orang ramai mustahak Dewan Rakyat mengadakan mesyuarat dahulu daripada tarikh 6 September.

Peruntukan seperti disebut itu ada di dalam Peraturaan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Tidak rumit, hanya Perdana Menteri memaklumkan sahaja kepada Speaker untuk memanggil sidang awal tersebut untuk dibentangkan Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri.

Advertisement

Tidak dinafikan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin adalah orang yang berkepentingan dalam soal membentangkan usul undi percaya lebih awal dari yang dipersetujui olehnya sebelum ini. Apa jadi jika ahli parlimen Pagoh itu enggan memanggil sidang parlimen awal tersebut sedangkan beliau menyedari secara hakiki majoriti sokongan ahli-ahli parlimen terhadapnya telah tidak ada lagi?

Di sinilah peranan Peguam Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan, yang bermaksud kerajaan Yang di-Pertuan Agong yang dilaksanakaan oleh Eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri.

Peguam Negara dengan secara profesional dan berani hendaklah menasihati Perdana Menteri supaya patuh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43(4) yang menyatakan bahawa Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri. Ertinya Perdana Menteri gugur bersama-sama seluruh menteri di dalam Jemaah Menteri tersebut. Jika ini berlaku, usul undi percaya tidak lagi perlu dibentangkan di dalam Dewan Rakyat.

Advertisement

Jika Peguam Negara gagal menjalankan tanggungjawabnya menasihati Perdana Menteri sedangkan beliau mengetahui Perdana Menteri telah kehilangan majoriti, dan Perdana Menteri pula enggan meletakkan jawatan, jadi apakah jalan penyelesaian yang ada?

Tidak ada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk melucutkan jawatan Perdana Menteri melainkan melalui undi percaya ataupun undi tidak percaya di dalam Dewan Rakyat. Maka bagaimana untuk memecahkan kebuntuan krisis Perlembagaan ini?

Jika sudah sampai ke hujung jalan mati,suka atau tidak suka maka Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara, seorang Raja Berperlembagaan yang juga atas namanya Mahkamah keadilan berfungsi dan beroperasi di negara ini, maka Baginda Tuanku perlu melihat di luar Perlembagaan Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian. Sumber perundangan yang lain yang dipanggil Common Law atau keputusan-keputusan Mahkamah yang mempunyai kuasa perundangan bolehlah dijadikan sandaran untuk tindakan.

Advertisement

Dalam soal ini ada keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia yang masih belum dibatalkan dan masih berkuatkuasa, di mana di dalam suatu penghakimannya menyatakan bahawa penentuan sokongan majoriti ada berbagai cara dan tidak semestinya ditentukan di dalam Dewan Undangan Negeri (ataupun Dewan Rakyat). Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut pada tahun 2009 bersabit krisis perlembagaan di Negeri Perak yang melibatkan jawatan Menteri Besar antara Nizar Jamaludin dengan Zambry Abdul Kadir.

Kesimpulannya terdapat tiga pilihan yang ada sekarang ini untuk memecahkan kebuntuan dalam soal sokongan majoriti terhadap Perdana Menteri.

Pilihan pertama, jika nyata memang sudah tidak ada sokongan majoriti, maka Ahli Parlimen Pagoh, Mahiaddin Yassin berundurlah dari jawatan Perdana Menteri dengan meletakkan jawatan di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

Pilihan kedua,jika Perdana Menteri enggan mengakui hakikat nyata bahawa beliau telah kehilangan sokongan majoriti tetapi masih mahu berselindung disebalik lalang sehelai, maka panggillah sidang Parlimen seawal mungkin di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 11(3) untuk dibentang, dibahas dan diundi usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Pilihan Ketiga, Yang di-Pertuan Agong terpaksalah mencemar duli, mengambil jalan yang pernah dilalui oleh Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Jika boleh dan seberapa boleh, seeloknya dan semoleknya, di atas gelaran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, lakukanlah secara terhormat dan mulia, jangan diheret institusi diraja, Yang di-Pertuan Agong, Ketua Utama Negara ke kancah politik.

Advertisement

Ambilah saja pilihan pertama ataupun kedua, iaitu meletakkan jawatan atau adakan sidang parlimen dengan segera untuk diputuskan undi percaya.

Hassan Abdul Karim merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top