BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Peringatan September dan permainan si dalang

Peringatan-20-September.jpg
Advertisement

Oleh: Hasmi Hashim

Tentang 20 September lagi. Sebuah detik kenangan. Sebuah demonstrasi akhbar di Kuala Lumpur. Dan bukan setakat itu.

Ketika orang bertanya, apakah erti 20 September? Selalu saya jawab, “tarikh Reformasi dianggap bermula.”

Advertisement

Ia melibatkan ribuan orang. Bukan sahaja Anwar Ibrahim yang dipecat dari semua jawatan kerajaan dan politik, tapi ribuan manusia yang tidak punya apa-apa kepentingan jawatan dan kuasa. Orang yang berhimpun dengan satu laungan, “reformasi!”

Rakaman videonya boleh ditonton sampai hari ini—apabila zaman berubah. Generasi muda ada yang tidak merasainya. Bahkan ramai yang belum lahir. Oleh itu, mereka tidak tahu.

Hari ini, mahu tidak mahu, kita perlu bercakap ke hadapan “mereka yang tidak merasainya”, dan kepada “yang tidak tahu” itu. Yakni generasi muda—bahawa apa yang diertikan sebagai “muda” bukan sahaja pada usia. Dari zaman berzaman pun, pengalaman manusia telah menunjukkan ramainya anak muda, muda hanya pada usia. Bukan kepada pemikiran dan nurani mereka.

Advertisement

Orang muda selalunya kuat, tapi kurang cermat. Bagi anak muda yang bijak, mereka akan mencari cermat, sementara sudah memiliki kuat. Cermat itu pula bukan milik mutlak orang tua. Tidak kurang ramainya orang tua yang juga tidak memiliki cermat, meski setelah tidak memiliki kuat.

Cermat hanya dimiliki oleh orang-orang yang berfikir. Mungkin juga oleh orang-orang yang berilmu. Kepada orang-orang yang berfikir dan berilmu itu, cermat ada beza besar dengan misalnya bodoh. Selalu kita menyamakan bahawa cermat itu bodoh. Sedangkan keduanya sama sekali lain.

Di dalam ‘game’ tua-muda, kejahatan segelintir orang tua apabila mereka selalu mahu menunggang orang muda—menunggang ke arah yang jahat. Misalnya ke arah memecah-belahkan kumpulan manusia yang baik agar menjadi bertabrakan. Selalunya si tua akan menaja seorang-dua anak muda untuk tujuan itu.

Advertisement

Si muda yang kurang cermat dan selalu menganggap dirinya pandai itu pun termakan umpan. Dia merasakan itulah peluang baginya untuk menciptakan sesuatu yang baharu. Atau peluang mencipta sejarah. Dia percaya, dia lebih hebat daripada generasi muda sebelum-sebelumnya. Sedangkan dia tidak tahu dan tidak mahu menelaah daripada pengalaman orang muda sebelumnya.

Kerana kurang cermat itulah, orang muda yang merasakan dia mampu menciptakan sejarah sendiri telah termasuk perangkap segelintir orang tua yang penuh helah. Sebuah badan atau organisasi muda sekali pun, jangan-jangan hanyalah permainan si dalang tua.

Maka, melakukan sesuatu yang kononnya baharu dan tidak pernah dilakukan sebelumnya akhirnya sebuah kesia-siaan. Sebuah jerangkap segelintir orang tua—lebih zalim dari itu, si tua itu tidak akan bertanggungjawab sama sekali dengan tindakannya yang mendorong anak muda agar merasakan usia muda itu hebat.

Advertisement

20 September 1998–kalau demonstrasi itu adalah demonstrasi terbesar dalam sejarah perlawanan rakyat Malaysia, ia kerana wujudnya kudrat rakyat, termasuk anak-anak muda, yang kuat. Perjuangan itu adalah latar berdirinya Parti Keadilan Rakyat.

Keadilan tidak ditubuhkan dengan sebuah pertemuan sulit dan sidang media. Di bawah perjuangan lebih dua dekad, yang tidak kelihatan ialah sikap cermat. Melengkapi kudrat kuat.

Berhati-hatilah. Ke hadapan, saya risau kalau-kalau akan ada anak muda yang merugikan orang muda itu sendiri. Lebih menyedihkan apabila si muda itu, didalangi seseorang yang tidak ikhlas sama sekali.

Advertisement

Yang jelas, kesombongan sendirilah yang selalu mengalahkan seseorang itu. Api membakar tanpa mengira. Tua atau muda.

Hasmi Hashim merupakan pelukis, juga penulis

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top