Oleh: Liew Chin Tong
DAP Johor bakal mengadakan konvensyen biasa pada 2 Mei ini dan intipatinya yang paling penting adalah untuk memilih 15 ahli jawatankuasa yang bakal memimpin parti di peringkat negeri menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pemilihan kepimpinan negeri sebelum ini kurang menarik perhatian media dan orang ramai kerana jarang melibatkan persaingan sengit antara calon. Kali ini ia agak unik kerana menjadi tumpuan ramai walaupun ada sebulan lagi sebelum berlangsungnya konvensyen. Malah, ia menjadi lebih menarik apabila ada bekas ahli DAP yang turut terlibat berkempen.
DAP menggunakan sistem pemilihan demokrasi tidak langsung di mana para wakil memilih 15 orang pemimpin (bagi peringkat negeri). Mereka ini yang mendapat undi paling banyak seterusnya akan memilih daripada kalangan mereka untuk memegang jawatan seperti Pengerusi, Setiausaha dan sebagainya dalam jawatankuasa negeri.
Sebagai Pengerusi DAP Johor, saya berharap agar kita menggunakan tempoh ini untuk bertemu antara satu sama lain supaya dapat berkongsi pengalaman, pendapat dan strategi untuk menyediakan jentera parti menghadapi PRU ke-15.
Pada PRU yang lalu, Pakatan Harapan berjaya menawan 98 daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia. Negeri Johor sahaja telah menyumbangkan 18 kerusi yang membawa kemenangan Pakatan Harapan. Peranan penting yang dimainkan oleh Johor dalam lanskap politik kebangsaan telahpun terbukti.
Untuk seluruh Malaysia, Johor mempunyai 26 kerusi parlimen, menjadikannya negeri kedua terbesar dari segi jumlah kerusi, selepas Sarawak yang memiliki 31 kerusi. Sabah pula mempunyai 25 kerusi, tidak termasuk parlimen Labuan bersebelahannya yang mempunyai komposisi pengundi hampir serupa dengan Sabah.
Bagi Semenanjung pula, Johor merupakan negeri yang mempunyai kerusi parlimen yang paling banyak, diikuti Selangor (22) dan Perak (24).
Walaupun jumlah penduduk Johor hanya dua pertiga jumlah penduduk Selangor, jumlah kerusi di Johor adalah yang paling tinggi di Semenanjung.
Ini adalah akibat persempadan semula kerusi parlimen yang dilaksanakan pada tahun 1993 dan 2003 bagi menambah kerusi di negeri Johor yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional.
Tentu ada sebabnya ia dianggap begitu. UMNO ditubuhkan di Johor dan ramai dalam kalangan pemimpin mereka berasal dari Johor termasuk Dato’ Sir Onn Jaafar.
Beberapa presiden MCA termasuk Tan Sri Lee San Choon, Tan Sri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Dr Neo Yee Pan (pemangku) juga merupakan anak Johor. Pemimpin MCA yang lain seperti Tun Dr Ling Liong Sik yang asalnya dari Perak dan pernah menjadi Ahli Parlimen di Pulau Pinang sebanyak tiga penggal juga datang bertanding di Johor kerana melihat negeri ini sebagai kawasan ‘selamat’ BN.
Tan Sri Ong Ka Ting (asal Perak) dan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (asal Melaka) turut melancarkan kerjaya politik masing-masing di negeri yang paling selatan di Semenanjung ini.
Namun, kuasa rakyat lebih kukuh. Kubu kuat BN ini akhirnya dirobohkan dalam PRU 2018. Ini adalah kejayaan yang membanggakan tetapi kita tahu perjuangan seterusnya akan menjadi lebih sukar berbanding cabaran 2018.
Saya pasti bahawa seluruh barisan pimpinan dan akar umbi DAP Johor kini memahami betapa pentingnya Johor terhadap landskap politik kebangsaan. Kita tidak boleh tenggelam dalam permainan politik adu domba, tikam belakang atau berpecah sesama kita.
Kita perlu bersatu padu untuk memastikan DAP dan Pakatan Harapan kembali berkuasa, bukan sahaja di Johor tetapi juga di seluruh negara.
Tanpa kejayaan di Johor, mustahil bagi Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan pusat. Ini telah dibuktikan dalam PRU ke-14 yang lalu.
Dalam PRU ke-15, Johor kekal sebagai faktor penentu dalam memenangkan Pakatan Harapan di peringkat kebangsaan dan kita memerlukan barisan pimpinan yang kuat untuk menerajui perjuangan ini.
Senator Liew Chin Tong merupakan Pengerusi DAP Johor dan bekas ahli parlimen Kluang (2013 – 2018)
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini