BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Pengertian keputusan undi belah bahagi dan keabsahan kerajaan

hassan-karim-belanjawan-2021.png
Advertisement

Oleh: Hassan Karim

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memenangi beberapa undian peringkat jawatankuasa perbahasan Rang Undang-Undang Belanjawan tahun 2021.

Pada hari Isnin 30 November 2020 kerajaan PN menang undi belah bagi bagi Anggaran Belanjawan Jabatan Perdana Menteri dengan menyokong 105 undi; menolak 95 undi.

Advertisement

Pada hari yang sama 30 November 2020 kerajaan PN menang sekali lagi undi belah bagi bagi meluluskan anggaran belanjawan Kementerian Kewangan dengan belahan undi: Menyokong 106; menolak 95.

Pada hari kedua, Selasa 1 Disember 2020 anggaran belanjawan bagi Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara telah diluluskan dengan undi suara. Tiada undian belah bahagi dijalankan.

Tetapi bagi hari yang sama 1 Disember 2020, di sebelah petang, anggaran belanjawan Kementerian Perladangan dan Komoditi telah diluluskan hanya setelah dilakukan undi belah bahagi dengan keputusan:Menyokong 108 undi; Menolak 95.

Advertisement

Apakah pengertian dari jumlah undi-undi belah bagi setakat ini? Pengertian pertama ialah anggaran belanjawan Kementerian-Kementerian yang berkaitan adalah telah diluluskan secara sah.

Adakah ini bermakna kedudukan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sah apabila kerajaan PN telah menang dalam pengundian belah bagi bagi meluluskan anggaran belanjawan di peringkat jawatankusa?

Jawapannya tidak. Kelulusan Belanjawan tidak meletakkan syarat majoriti mutlak. Menang undi majoriti mudah dari jumlah ahli Dewan Rakyat yang hadir pada ketika pengundian belah bahagi itu dijalankan sudah mencukupi untuk dikatakan menang dengan majoriti dan Belanjawan itu diluluskan.

Advertisement

Tetapi ia berbeza dengan jawatan Perdana Menteri. Keabsahan jawatan Perdana Menteri memerlukan undi majoriti yang mutlak, bukan setakat dari jumlah ahli Dewan Rakyat yang hadir di Dewan Rakyat ketika pengundian dijalankan, tetapi dari keseluruhan jumlah ahli Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum.

Dalam pilihanraya umum-14, seramai 222 ahli parlimen telah dipilih oleh rakyat iaitu bilangan yang mandatori di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang dari bilangan 222 yang disebut secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini seorang ahli parlimen dari blok pembangkang telah meninggal dunia iaitu ahli parlimen Batu Sapi di Sabah.

Advertisement

Manakala blok kerajaan PN seorang ahli parlimennya juga telah meninggal dunia iaitu ahli parlimen Gerik di Perak. Ini menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia sekarang ada seramai 220.

Jumlah treshold atau jumlah ambang yang dikatakan syarat majoriti yang diperlukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengesahkan jawatannya sebagai Perdana Menteri yang ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan kerajaan PN pimpinannya ada keabsaahan ialah sebanyak 111.

Setakat tiga undian belah bagi yang dijalankan, undian paling tinggi yang Kerajaan PN dapat hanyalah sebanyak 108 undi sahaja. Kerajaan PN belum lagi mencapai jumlah ambang atau treshold sebanyak 111 undi.

Advertisement

Kesimpulannya, setakat hari ini sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih menjadi Perdana Menteri bermula pada 1 Mac 2020, beliau dan kerajaannya masih belum dapat membuktikan majoriti yang dituntut oleh Undang-Undang Perlembagaan.

Kerana itu keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN pimpinannya masih lagi dipersoalkan.

Hassan Karim merupakan ahli parlimen Pasir Gudang

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top