BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Pekerjaan dan pengangguran, suatu cabaran RMK-12

Hassan-Karim-MP-Pasir-Gudang.png
Advertisement

Oleh : Hassan Abdul Karim

Mungkin pegawai-pegawai di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya sekarang sedang berada di fasa akhir untuk menyiapkan suatu dasar yang komprehensif tentang usaha-usaha yang hendak dilakukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menjana ratusan ribu peluang pekerjaan baru dan mengatasi lebih 700 000 pengangguran.

RMK-12 yang mesti dibentangkan oleh kerajaan Muhyiddin Yassin sekarang atau kerajaan lain yang menggantikannya adalah rancangan pembangunan lima tahun yang berjalan serentak dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mengambil tempoh sepuluh tahun untuk dilaksanakan. Kecuali jika ada kerajaan lain menggantikan Muhyiddin tidak bercadang meneruskan (WKB2030) itu bagi memberi peluang dibina satu wawasan baru yang lebih baik.

Advertisement

Apapun keadaannya, sama ada WKB2030 itu terus hidup atau mati sebelum masanya, RMK-12 mesti dibentangkan dulu di parlimen. Yang penting rakyat terus hidup dan negara berkembang maju dan makmur. Untuk hidup, rakyat perlukan pekerjaan. Sampai bila kerajaan mampu untuk memberikan bantuan melalui program rangsangan Penjana, Prihatin ataupun Subsidi Upah kepada pekerja?

RMK-12 perlu menekankan kepada melahirkan pekerjaan yang berteknologi tinggi. Bukannya bidang industri seperti lalu yang berasaskan buruh berkemahiran rendah.

Kenapa dasar seperti ini penting difikirkan pegawai-pegawai di Kementerian Sumber Manusia? Jawapannya mudah. Pekerjaan mahir berteknologi tinggi akan memberi peluang gaji yang juga tinggi kepada para pekerja. Dalam masa yang sama industri di Malaysia tidak lagi perlu kepada buruh-buruh asing dari negeri asing, sama ada pendatang sah ataupun pendatang tanpa izin.

Advertisement

Majikan di Malaysia, rata-ratanya bersifat patriotik. Mereka mengalu-alukan reformasi industri Malaysia bergerak ke arah teknologi digital dan Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0).

Satu hikmah di sebalik mudarat dan petaka Covid-19 ialah Malaysia suka atau tidak suka, bersedia atau mahu ketinggalan ialah menerima hakikat bahawa kerajaan dan rakyat perlu berubah ke arah teknologi digital.

Ia sekarang bermula di peringkat yang sangat penting iaitu di sekolah-sekolah. Apabila pembelajaran secara bersemuka antara guru dan murid tidak mungkin dilaksanakan kerana wabak penyakit, maka diperkenalkan sekarang pembelajaran secara atas talian yang melibatkan penggunaan alat-alat peranti dan internet.

Advertisement

Ini adalah asas kepada IR 4.0. Benarlah kata bijak pandai bahawa keperluan (necessity) adalah ibu kepada ciptaan (innovation).

Contoh yang mudah dari selatan tanahair. Pekerjaan-pekerjaan mahir berteknologi tinggi di hub industri minyak dan gas di RAPID Pengerang, Johor memberi gaji yang tinggi kepada para pekerjanya.

Para pekerja di sektor perkhidmatan di Singapura yang menjadi pusat kewangan antarabangsa adalah para pekerja yang dilengkapi ilmu berasaskan pengetahuan digital yang menikmati pulangan gaji yang tinggi.

Advertisement

Mengapa gaji yang tinggi kepada para pekerja Malaysia penting? Jawapannya mudah sahaja. Kita kata, kita ingin Malaysia jadi negara maju. Macam mana Malaysia boleh jadi negara maju jika gaji pekerjanya masih ramai di bawah garis kemiskinan seperti sekarang ini.

Jadi, apapun nama kerajaan yang akan memerintah selepas tamat wabak Covid-19 ini, atau selepas Darurat ditamatkan atau selepas rakyat kembali ke pusat-pusat mengundi untuk memilih pemerintah yang baru, soal pekerjaan rakyat dan soal untuk mengatasi pengangguran di kalangan rakyat adalah soal nombor wahid kerana isu itu berkait hal asasi iaitu periuk nasi.

Hassan Abdul Karim merupakan ahli parlimen Pasir Gudang

Advertisement

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top