BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Pekerjaan dan gaji setimpal kunci kejayaan ekonomi Johor

johor.jpg
Advertisement

Oleh : Fakhrurrazi Rashid

Seawal tahun 2021, negeri Johor telah berhadapan dengan pelbagai cabaran apabila menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi Covid-19 dan dilanda ujian bencana banjir.

Belum sempat dengan isu Covid-19 dan banjir, Johor telah dikejutkan dengan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur – Johor Bahru – Singapura pada awal bulan Januari 2021 yang bernilai hampir RM 100 bilion. Projek ini dijangkakan menawarkan hampir 70,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan yang akhirnya tidak dapat direalisasikan untuk tahun ini.

Advertisement

Perkembangan ekonomi terkini jelas menunjukkan impak buruk ekonomi Johor yang masih tidak stabil, khususnya isu pengangguran yang bertambah serius. Menurut jawapan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Dewan Negeri, pengangguran Johor mencecah hampir 173,000 orang disebabkan ekonomi yang bergerak perlahan akibat Covid-19.

Nasib pekerja Johor di Singapura juga berdepan dengan risiko pembuangan kerja. Penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura pada tahun 2020 adalah 5.8 peratus, iaitu lebih baik daripada jangka awal pengucapan KDNK dalam lingkungan tidak lebih 6.5 peratus, ia tidak memberi sebarang jaminan kepada 415,000 orang rakyat Johor yang bekerja di Singapura untuk kekal mendapat pekerjaan di sana.

Setakat Januari hingga Mei 2020, seramai 15,666 pekerja Malaysia di Singapura telah kehilangan pekerjaan. Pekerja Malaysia dalam sektor perkhidmatan di Singapura ialah kumpulan paling tinggi hilang pekerjaan, iaitu seramai 11,123 orang. Jumlah ini kemungkinan akan bertambah sekiranya penularan Covid-19 belum reda.

Advertisement

Hasni turut menganggarkan seramai 100,000 orang rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya pembukaan sempadan Johor-Singapura tidak disegerakan. Pembukaan sempadan Johor-Singapura dilihat agak mustahil selepas Johor terpaksa melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi dan darurat bagi seluruh negara.

Isu pengangguran di Johor akan bertambah memandangkan kadar pengangguran di peringkat nasional meningkat sedikit kepada 4.8 peratus pada November 2020.

Meskipun ramai pekerja Malaysia di Singapura telah diberhentikan semasa Covid-19, kebanyakan mereka tidak melihat peluang pekerjaan di Malaysia sebagai menarik. Tawaran gaji yang rendah memainkan peranan utama pekerja tempatan tidak tertarik dengan pekerjaan di Malaysia.

Advertisement

Anak tempatan sanggup bekerja di restoran dan sektor 3D (kotor, sukar dan berbahaya) di Singapura yang memberi gaji sekurang-kurangnya RM 4,000 sebulan. Kadar gaji ini lebih tinggi berbanding pendapatan purata negeri Johor pada tahun 2019 iaitu RM 3,224.

Pekerja tempatan masih menunggu tawaran baru di Singapura selepas Covid-19 reda. Perkara ini menjadi faktor kepada majikan untuk terus menggunakan pekerja asing dengan upah yang rendah d jika dibandingkan mengambil pekerja tempatan yang tidak mempunyai ketetapan untuk bekerja untuk tempoh jangka masa yang panjang.

Tetapi, terdapat dua perkara yang akan mengubah realiti semasa peluang pekerjaan dan ekonomi di Malaysia, khsusunya Johor.

Advertisement

Pertama, kerajaan Singapura telah bergerak ke arah mengurangkan kebergantungan pekerja asing dalam sektor ekonomi. Singapura telah mengumumkan peruntukan sebanyak S$1 bilion (RM 3.04 bilion) untuk memberi inisiatif kepada majikan yang menggaji warga Singapura dan merencana penggunaan automasi bergandingan dengan tenaga manusia secara berperingkat untuk meningkatkan nilai tambah ekonomi Singapura sebagai alternatif kepada pekerja asing.

Kedua, pengambilan pekerja asing di Johor akan dikurangkan. Peningkatan kes Covid-19 di Johor sejak dua bulan yang lalu berpunca daripada saringan pekerja asing di pusat penindustrian. Keadaan ini akan menjadi faktor utama kerajaan persekutuan dan negeri terpaksa menukar dasar, mengurangkan pengambilan pekerja asing. Fokus kepada usaha menambahbaik pekerjaan berkemahiran rendah yang didominasi warga asing akan menjadi tumpuan pembuat dasar agar ia dapat diisi oleh tenaga tempatan yang lebih mahir dan berkebolehan.

Kedua-dua perkara ini memerlukan pendekatan baharu daripada kerajaan negeri bersama-sama dengan pemain industri untuk mengubah wajah ekonomi Johor sebagai negeri yang menawarkan pekerjaan yang kompetitif dengan gaji setimpal.

Advertisement

Kita harus akui bahawa kerajaan Johor telah menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran kepada anak tempatan dalam Belanjawan 2021. Cuma, pemberian latihan kemahiran sahaja tidak memadai sekiranya kerajaan negeri dan pemain industri tidak menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi dengan gaji yang setimpal.

Pelaburan negeri Johor dalam sektor baharu seperti ekonomi hijau, industri kreatif, maritim, dan tenaga boleh baharu akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri dan mencipta pekerjaan dengan gaji setimpal. Perkara ini akan menarik minat pekerja mahir, khususnya anak tempatan yang bekerja di Singapura, untuk merebut peluang pekerjaan yang tersedia di Johor.

Bagi melengkapi tawaran baharu ekonomi Johor, Majlis Ekonomi Ibrahim Johor perlu dilibatkan secara aktif dalam merenacan hala tuju ekonomi negeri. Tenaga-tenaga pakar dan pemain industri dalam IJEC ini mempunyai pelbagai idea yang boleh dibahaskan untuk memajukan Johor. Namun, sehingga hari ini rakyat masih tidak melihat apakah perancangan IJEC dalam ekonomi Johor.

Advertisement

Jika kerajaan negeri dan pemain industri masih bergantung kepada upah murah dan pekerja asing, tentunya ekonomi Johor tidak mampu mengatasi cabaran Norma Baharu.

Tidak ada yang mustahil bagi Johor mencipta pekerjaan dengan gaji yang setimpal memandangkan negeri ini mempunyai segala keupayaan dan sumber mencukupi untuk membuat tawaran pekerjaan lebih baik buat anak tempatan.

Persoalan hanya berlegar sama ada kerajaan negeri benar-benar berani melakukanya atau masih mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’, iaitu satu sikap yang boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan ekonomi rakyat Johor kelak.

Advertisement

Fakhrurrazi Rashid merupakan penyelaras penyelidik Research for Social Advancement (Refsa)

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top