BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Merdeka dari politik tua

merdeka.jpg

Gambar Ehsan The Star

Oleh: Amin Mubarak

Hari kemerdekaan yang ke 63 yang seharusnya disambut dengan penuh penghayatan untuk mempertahankan kehamornian dan perpaduan yang kita bina sejak 1957.

Tema Malaysia Prihatin harus kita dukung bersama supaya terma cakna prihatin itu menjadi bait kelaziman di kala kita masih melawan wabak pandemik Covid-19.

Dengan keadaan ekonomi yang masih terumbang ambing, ramai rakyat yang hilang kerja akibat kesan daripada wabak ini. Kerana itu, nilai prihatin itu harus kita amalkan dari setiap lapisan masyarakat dari ibu kota ke desa.

Dr Antony Fauci, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat yang juga merupakan Jawatankuasa Taskforce Covid-19 Amerika Syarikat, menjangkakan pengamalan penjarakan sosial perlu dikekalkan sehingga 2022 dan cadangan ini senada dengan Kementerian Kesihatan Malaysia yang meneruskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga disember 2020.

Lewat seminggu atau dua minggu sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan, kita disajikan dengan adegan drama politik tidak kira dari pihak pembangkang mahupun kerajaan.

Dengan isu perseteruan dua kuda tua politik yang tidak tamat, keyakinan anak muda mengangkat semula budaya surat sokongan, tidak lupa gelagat wakil rakyat ibarat anjing dan kucing di sangkar parlimen.

Bagi kita rakyat marhaen ini, kita hanya mampu melihat permainan, drama dipersembahkan oleh mereka tanpa kita ketahui bila hujungnya, sambil nasib generasi muda, anak cucu cicit kita yang menjadi pertaruhan. Ya, drama ini bukan semua muncul dari drama cinta “7 hari Mencintaimu” di TV3 semata-mata, tetapi ia datang dari budaya lama dalam berpolitik yang kekal lama sejak 63 tahun yang lepas.

Di mata masyarakat mereka akan nampak budaya seperti ‘cash is king’ dan surat sokongan dinormalisasikan untuk meraih undi. Di dalam parti kita melihat kepimpinan parti yang mula tidak boleh menerima kritikan dari dalam, jangan diharap untuk mereka mampu menerima kritikan dari luar.

Budaya bodek-membodek, besar kepala, payung-memayung memberikan ruang untuk politikus ini merasa wujudnya autoriti pada diri mereka, lantas membibitkan rasa kebal dan tidak lagi boleh disentuh oleh mana mana kritikan.

Barisan Nasional, Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan Plus semuanya sudah berjangkit politik orang tua. Manakan tidak, mahasiswa juga menjadi hamba politikus tua ini memekik terlolong di tempat awam ketika pilihan raya kecil baru baru ini.

Tiada remedi atau ubat untuk penyakit ini, melainkan anak muda bangkit mempamerkan idealisme dan kehendak mereka secara terang dan komited. Persediaan kearah budaya ini harus dipergiatkan.

Gaya politik orang tua hanya akan dimatikan dengan pendekatan dan idea baharu. Wadahnya adalah pendidikan. Pendidikan politik harus dipergiatkan. Inisiatif seperti Undi18, UndiSabah, Parlimen Digital harus inklusif kepada seluruh anak muda.

Anak desa, anak felda perlu didedahkan, bukan terikat pada golongan urban sahaja. Ini Malaysia bukan Gotham yang 100 peratus tinggal di bandar. Ramai anak muda berada di desa yang dahagakan ilmu ini.

Prof Matthew Flinders melalui jurnalnya ringkasnya dalam Oxford University Press telah bertanya soalan menarik perihal politik baru, “…there is a far bigger questions for the UK (and internationally) about the specific form, values and structures that might make up this “new politics.” What does “doing politics differently” actually mean?”

Hakikatnya, bila bercerita soal pendekatan baharu, baharu itu sudah menggambarkan yang kita mahu lari dari stigma dan gaya permainan politik lama orang tua tetapi tidaklah mudah untuk kita membina mazhab baru dalam idea politik budaya baru dan tidak sesimplistik mengatakan parti anak muda itu adalah solusi.

Mungkin benar, idea ini berasal dari rasa ingin berbeza sahaja. Cabaran dalam mendefinisikan semula pembaharuan harus kita fikir bersama.

Bercerita soal Merdeka, adakah kita sudah merdeka dari budaya lapuk ini?

Hanya satu soalan ringkas sahaja yang boleh dijadikan indikator kepada soalan diatas. Apa persediaan kita sebagai anak muda untuk bergerak tanpa watak-watak ‘warlord’ ini lagi? Pernahkah kita terfikir tentang soalan yang menyesakkan dada ini?

Jawapannya sebenarnya ada pada kita saya, anda, anak muda dan pemimpin muda yang sudah bersama dalam kancah politik. Dengan masa hadapan yang samar kerana kesan wabak pandemik ini kita sama-sama perlu mencari jalan membina keupayaan anak muda yang menghuni 40 peratus populasi rakyat Malaysia.

Kita tidak mampu mengubah sejarah dan sikap politik orang tua ini tetapi kita boleh mengubah masa depan generasi kita bergantung pada keberanian kita. Politik hari ini wajib berbeza dengan semalam.

Politik muda ini perlu memastikan politik kebencian kaum, pecah belah dan ketamakan kuasa menghabiskan hasil masyhul negara kepada politik yang menjana kehidupan masyarakat dan menghasilkan ruang akses pendidikan, pekerjaan dan ekonomi untuk semua.

Politik muda harus menutup bangkai politik tua yang membusuk selama 63 tahun yang penuh dengan ketirisan dan pengkhianatan. Kalau di New Zealand dan France kita punyai Presiden yang muda mentadbir urus negara. Kita tertanya bila mahu sampai ke peringkat itu?

Jangan takut dengan bayang dan propaganda politik lama. Politik sekarang, rata-rata dikuasai atau mula dikuasai oleh pengundi dari demografi yang sangat berbeza dari sedekad yang lepas. Kita boleh lihat sahajalah le Macron di France. Itu antara bukti jelas. Mahu tak mahu, akan mengarah ke sana jua.

Bak Kata Jason Derulo ‘it’s 2020 man’

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-63, Bebas dari perkauman, Bebas dari politik tua.

Amin Mubarak, seorang yang kacak dan merupakan Exco Advokasi dan Perhubungan Awam Kesatuan Pelajar UIAM

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top