BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Mengapa Parlimen tidak bersidang secara penuh?

dewan-rakyat-parlimen-malaysia-1.jpg
Advertisement

Oleh : Fakhrurrazi Rashid

Perdana menteri mengumumkan persidangan khas Parlimen yang akan berlangsung lima hari untuk Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai sehingga 2 Ogos manakala Dewan Negara bersidang selama tiga hari iaitu mulai 3 hingga 5 Ogos.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melihat sidang khas Parlimen ini penting bagi memberi penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meminda Peraturan Mesyuarat agar Parlimen secara hibrid dapat dilaksanakan.

Advertisement

Meskipun beberapa pihak menyambut baik langkah membuka parlimen ini, ramai dalam kalangan ahli parlimen dan rakyat melihat ia hanyalah langkah “populis” kerajaan PN dan persidangan khas yang singkat ini tidak akan memberi apa-apa impak kepada perbahasan isu sebenar.

Hakikatnya, persidangan khas ini dibuat secara terburu-buru dan dilaksanakan ketika politik dalaman PN kian meruncing dan tempoh darurat akan tamat tidak lama lagi.

Persoalannya, adakah tempoh lima hari ini cukup bagi ahli Parlimen membahaskan Ordinan Darurat PPN? Apakah relevan sekiranya parlimen meneliti PPN tanpa melihat kepada perancangan ekonomi dalam fasa pemulihan pandemik?

Advertisement

Justeru, keputusan kerajaan untuk mengadakan sidang khas parlimen perlu ditambah baik bagi memastikan parlimen benar-benar membincangkan keperluan rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik dan perancangan mengatasinya pada masa akan datang.

Buat persidangan penuh

Saya berpendapat sidang Parlimen sepenuhnya adalah jalan terbaik buat masa ini memandangkan jemaah menteri dan ahli Parlimen sudah lama tidak berbahas dan bersemuka di Parlimen hampir lima bulan akibat pelaksanaan darurat. Mengapa?

Advertisement

Pertama, tempoh persidangan penuh adalah lebih realistik untuk membahaskan kesemua Ordinan Darurat dan isu-isu rakyat yang memerlukan perancangan berkesan. Ia turut memberi ruang dan masa yang secukupnya untuk ahli parlimen membahaskan perkara penting yang dihadapi rakyat sepanjang darurat dan pandemik.

Tambahan pula, persidangan penuh memberi peluang kepada ahli Parlimen mempunyai sesi pertanyaan kepada menteri jika dibandingkan sidang khas parlimen yang menumpukan sepenuhnya kepada perbahasan usul kerajaan.

Kedua, persidangan Parlimen secara penuh juga memberi ruang kepada ahli Parlimen membincangkan pelan pemulihan ekonomi dengan kadar segera. Pakej rangsangan ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sebenarnya perlu dibahaskan secepat mungkin sebagai persediaan awal untuk mengatasi cabaran ekonomi dan mengurangkan bebanan rakyat dalam fasa pemulihan seterusnya.

Advertisement

Malah, Akta Langkah-langkah Sementara (Covid-19) 2020 perlu disemak semula dengan segera untuk membantu rakyat yang terkesan, khususnya komitmen perjanjian kontrak dan sewa premis selepas darurat atau sekatan penuh pergerakan berakhir.

Ketiga, Parlimen mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan sejak persidangan tahun lepas. Maka, persidangan secara fizikal bukanlah satu halangan besar untuk parlimen bersidang lebih lama.

Hakikatnya, persidangan khas yang singkat akan menjejaskan kualiti perbahasan, khususnya ruang dan masa untuk ahli Parlimen memebangkitkan isu rakyat kepada kerajaan.

Advertisement

Malah, sidang khas tidak mampu memberi ruang secukupnya bagi membahaskan PPN dan perancangan ekonomi yang memerlukan peruntukan masa yang panjang bagi menghasilkan dasar yang baik untuk rakyat.

Perbincangan untuk rakyat

Kemarahan rakyat terhadap pentadbiran PN tidak dapat dibendung lagi sehingga ada yang mengibarkan bendera hitam sebagai simbol kekecewaan terhadap pentadbiran PN. Ada yang mengangkat bendera putih demi mencari bantuan asas kerana terjejas teruk akibat pandemik.

Advertisement

Mengadakan sidang Parlimen khas bukanlah satu ukuran kerajaan PN amat responsif. Ada kemungkinan sidang itu hanyalah satu publisiti politik PN yang mahu membina naratif mereka kerajaan prihatin yang sebenarnya tidak dipersetujui kebanyakan rakyat.

Ramai yang mengharapkan Parlimen memberi tumpuan kepada usaha mengatasi cabaran ekonomi dan pandemik yang dihadapi rakyat. Tetapi, bagaimana kerajaan PN dapat memastikan sidang kali ini benar-benar mengangkat kepentingan rakyat?

Pertama, kerajaan PN perlu mengadakan kerjasama dwipartisan bersama ahli Parlimen pembangkang untuk mencapai kesepakatan dalam memerangi Covid-19 dan membina semula ekonomi negara. Kerajaan PN perlu lebih terbuka menerima cadangan pembangkang dalam PPN dan menjadikan mereka rakan strategik dalam tadbir urus negara.

Advertisement

Kedua, pembangkang perlu diberikan masa dan ruang yang lebih banyak dalam sesi perbahasan parlimen. Ia penting untuk ahli parlimen membawa pandangan mereka untuk perhatian kerajaan dan memastikan sidang ini tidak didominasi dengan pasangan kerajaan semata-mata.

Lebih baik sekiranya kerajaan dan pembangkang berunding terlebih dulu mengenai perjalanan parlimen akan datang dan persetujuan dasar ekonomi bersama. Ia juga satu jalan tengah untuk mengelakkan berlakunya percaturan politik kedua-dua pihak yang hanya merugikan rakyat dan negara.

Saya optimis, jika rundingan tersebut mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, kedua-dua belah pihak mungkin boleh bersetuju mengadakan sidang parlimen penuh sebelum darurat berakhir.

Advertisement

Sekiranya kerajaan Muhyiddin Yassin bersikap terbuka kepada ahli Parlimen, tentunya sidang parlimen ini akan memudahkan urusan rakyat dan pentadbirannya sendiri. Jika kerajaan PN masih lagi mentadbir seolah-olah mempunyai ‘majoriti besar’ di parlimen sedangkan mereka minoriti, maka usaha untuk memulihkan negara untuk keluar daripada krisis bakal terjejas.

Sudah sampai waktunya pemimpin negara berganding bahu dalam memikul cabaran rakyat dan negara yang mengharapkan kehidupan mereka kembali pulih dan normal berlandaskan perancangan ekonomi dan kesihatan yang baik hasil daripada perbahasan Parlimen.

Fakhrurrazi Rashid merupakan penyelaras penyelidik Research For Social Advancement (REFSA))

Advertisement

Rencana ini diterbitkan kali pertama di Roketkini.com

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top