BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Mengapa kesedaran dan kepedulian masyarakat Malaysia dalam isu nasib OKU masih rendah?

Orang-Kelainan-Upaya-OKU.jpg

Gambar Ehsan Wikimedia

Advertisement

Oleh: Azan Safar

Kesedaran dan kepedulian masyarakat Malaysia dalam isu dan nasib OKU masih rendah. Kejadian terbaru di mana seorang atlet paralimpik Ukraine telah dikecam dengan dasyat oleh netizen Malaysia, termasuk hantaran-hantaran berupa penghinaan dan makian yang mempermainkan fizikal dan kecacatan atlet tersebut mencerminkan betapa runcingnya tahap pemikiran serta nilai masyarakat Malaysia dalam mendepani isu-isu OKU.

Justeru itu persoalannya ialah mengapakah masih wujud nilai dan pemikiran yang sebegini teruk dalam masyarakat Malaysia walaupun kita sudah 64 tahun Merdeka dan bakal pula merayakan hari Malaysia yang ke-58 tidak lama lagi?

Advertisement

Pernah tak berapa lama dahulu telah viral sebuah video seorang pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang melakukan penghinaan terhadap OKU setelah mengambil tempat letak kereta yang dikhaskan untuk OKU. Adakah cara faham komuniti beragama terhadap OKU bermasalah sehinggakan pemimpin dari sebuah gerakan mahasiswa Islam melakukan penghinaan sebegitu rupa?

Atau apakah pemikiran dan nilai masyarakat yang kehilangan empati serta belas ehsan itu juga adalah sebuah menifestasi daripada sikap kerajaan Malaysia sendiri yang tidak peka, tidak peduli dan malahan sering pula meminggirkan isu-isu OKU dalam pembuatan dasar-dasar negara?

Atau apakah ketidakpedulian terhadap isu-isu OKU ini berakar umbi dari budaya masyarakat kita sendiri yang sering mendiamkan atau menyembunyikan sesuatu yang dianggap “cacat”?

Advertisement

Kalau ianya telah menjadi suatu budaya, apakah ianya terhasil daripada interaksi-interaksi sosial yang berlaku antara anggota masyarakat dengan media misalnya. Bagaimana media, baik bercetak mahupun elektronik, dari surat khabar, radio, televisyen, buku dan novel hinggalah kepada media sosial menggambarkan OKU? Di mana OKU dalam naratif media-media ini?

Apakah OKU menjadi hero di media hanya apabila mereka membawa kejayaan buat negara? Selepas habis kerajaan dan masyarakat merayakannya, OKU pun tenggelam dan hilang.

Beberapa hari lalu, viral di Twitter apabila atlet para-asean yang menggondol banyak pingat termasuk emas untuk negara dalam beberapa siri sukan para-asean kini menjadi jurupam di salah sebuah stesen minyak di Kuala Selangor.

Advertisement

Apa yang menarik, apabila peminat yang mengambil gambar bersama, antara yang dipesan beliau adalah “jangan upload di FB ya bang, nanti pegawai MSN nampak & warning saya”.

Inilah juga nasib yang menimpa Mariappan Perumal, anak Malaysia kelahiran Melaka yang merupakan atlet paralimpik Malaysia yang pertama berjaya meraih pingat untuk negara dalam sukan angkat berat di Seoul tahun 1988. Beliau dibuang kerja beberapa kali oleh syarikat kerana sering menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan.

Kini beliau hanya menerima pencen yang tidak seberapa untuk menanggung isteri dan tiga orang anaknya yang masih bersekolah. Habis madu sepah dibuang.

Advertisement

Meneliti keadaan ini, apakah faktor pasar dan modal (sistem kapitalis), mempengaruhi tindakan syarikat yang enggan mengambil OKU sebagai pekerja kerana OKU dianggap sebagai tenaga kerja yang tidak efisyen dan efektif untuk membawa keuntungan kepada syarikat? Jika mereka diambil kerja pun ianya mungkin berbentuk hanya sampingan sahaja.

Justeru, apakah yang dilakukan oleh kerajaan di dalam menguruskan persoalan hak untuk pekerjaan buat OKU yang mempunyai upaya untuk berkerja? Apakah ada undang-undang negara yang jelas dalam menguruskan persoalan ini? Apakah ada kuota pekerjaan untuk OKU di jabatan-jabatan kerajaan? Bagaimana pula sikap syarikat-syarikat swasta mengenai penyediaan peluang pekerjaan buat OKU?

Dan bagaimana pula kerajaan menguruskan kebajikan OKU yang memang tidak mempunyai sebarang keupayaan untuk berkerja?

Advertisement

Kini OKU mempunyai suara di Dewan Negara melalui senator yang telah dilantik. PWDA 2008 adalah sebuah akta yang diperkenalkan dalam memelihara nasib dan kebajikan komuniti OKU. Justeru, apakah dasar awam Malaysia tentang OKU benar-benar berkesan? Adakah dasar awam Malaysia benar-benar melindungi OKU dari sebarang diskriminasi dan juga melindungi kebajikan OKU?

Apakah ianya memadai, atau perlu diperbaiki, atau perlukan perubahan yang radikal? Dan kalau ia perlu diubah dan diperbaiki, dimanakah ruang yang harus dibaiki untuk mencapai sebuah Cita Malaysia yang lebih baik, adil dan terangkum buat semua warganya?

Apakah wujud kesenjangan yang ketara dalam komuniti OKU baik dari aspek sosio-ekonomi, pendidikan, fasiliti dan akses? Apakah perbezaan di antara OKU di bandar dan luar bandar? Apakah terdapat perbezaan dari sudut fasiliti, akses dan bantuan kebajikan di antara komuniti OKU yang berlainan etnik dan agama di Malaysia ini?

Advertisement

Bagaimana pula OKU sendiri memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka? Apakah kerumitan-kerumitan yang wujud dalam melakukan advokasi, berurusan dengan kerajaan dan masyarakat serta cabaran-cabaran untuk menggembeleng kesatuan sama ada dari OKU sendiri atau ibu-bapa dan keluarga OKU bagi perjuangan untuk Cita Malaysia yang lebih baik adil dan terangkum buat OKU?

Azan Safar merupakan penggerak Kawah Buku

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top