BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Mahasiswa, cabaran pandemik dan aktivisme

mahasiswa-demonstrasi-protes.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

Oleh: Muhammad Amin Mubarak

Pandemik Covid-19 telah membawa masyarakat ke norma baharu yang mengubah persekitaran hidup pada skala besar sehingga memberi kesan kepada citra hidup manusia seharian. Daripada sekecil amalan seperti basuh tangan sehinggalah ke budaya hidup bekerja, segalanya mengalami perubahan drastik; bukan sahaja di Malaysia, bahkan di peringkat global.

Sepanjang garis masa pandemik ini, pendidikan tinggi Malaysia dilihat antara sektor yang paling terumbang ambing dek kerana masyarakat berada di persimpangan dilema pilihan hidup; antara hidup kendiri demi kemaslahatan dan memastikan amalan pentarbiahan mahasiswa terus dilestarikan.

Advertisement

Dunia semakin mencabar dan kompleks. Sebarang perubahan dan perancangan perlu bersifat mudah ubah atau ‘agility’.

Mahasiswa yang menerima tempiasnya dimana keadaan pergerakan aktivisme mahasiswa perlu berubah mengikut keperluan semasa. Peter Drucker pernah menyebut ‘The greatest danger in times of turbulence is not the turbulence. It is to act with yesterday’s logic. Maka, mahasiswa perlu mempersiapkan diri dalam segala aspek apabila berhadapan dengan dunia yang berubah-ubah agar dapat mengadaptasi apa jua keadaan.

Mahasiswa Covid 19 tiada masa hadapan?

Advertisement

Ramai ahli akademik dan masyarakat meramalkan generasi mahasiswa graduasi sepanjang tahun-tahun pandemik Covid-19 ini bakal menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

Antara faktor utamanya adalah kemahiran yang digunakan oleh mahasiswa sewaktu di dalam proses pembelajaran terbatas dan aktiviti aktiviti yang dapat mengasah potensi dan kemahiran mahasiswa tidak dapat dijalankan. Tambahan pula, ada sesetengah pelajaran sudah mula dimudahkan proses kerja kursus dan peperiksaan.

Oleh kerana itu para peramal masa depan ini mendakwa perkara ini akan membantutkan kemahiran mahasiswa sekaligus memberi kesukaran untuk menembusi kebolehpasaran industri pada masa akan datang.

Advertisement

Realiti kini, kita perlu menerima bahawa COVID-19 yang meruncing ini telah menyebabkan kesemua perkara yang manusia lakukan terbatas termasuklah peluang kerjaya. Kadar pengangguran global pasti meletus. Mahasiswa pasti menjadi antara kelompok masyarakat yang paling terkesan dengan perubahan ini. Mahasiswa berhadapan krisis berkembar; pandemik Covid-19 dan ketiadaan peluang pekerjaan.

Kebolehcapaian teknologi semakin dipergiatkan di era Covid-19 ini. Kaedah pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka telah dipaksa mengikut arus pemodenan secara drastik. Teknologi maya seperti Google Class dan Trello dimanfaatkan semaksima mungkin dengan supaya sentuhan fizikal dielakkan.

Norma pembelajaran baharu ini telah membawa mahasiswa ke lembaran hidup baharu sehingga dapatan kajian indeed.com menyenaraikan kemahiran tertinggi yang diperlukan graduan ialah perkomputeran dan aplikasi di internet. Disini kita boleh lihat bahawa kemahiran di era pandemik ini tidak boleh dipandang enteng sama sekali.

Advertisement

Selain itu, World Economic Forum turut menyatakan kemahiran berfikir secara kritikal antara kemahiran yang perlu dipelajari dan diasah bagi membolehkan masyarakat menjadi kompeten menjelang 2025.

Di dalam kerja atau latihan semasa pembelajaran atas talian, rata-rata pensyarah akan mendedahkan mahasiswa dengan latihan bersifat membina daya analitikal dan kritikal seperti esei panjang yang memerlukan rujukan yang banyak, serta soalan soalan aras tinggi. Penulis berpandangan bahawa pendekatan baharu ini mampu mengambil alih atau menggantikan pendekatan yang lama bagi memberikan nafas baharu untuk mahasiswa covid kekal relevan dalam pasaran industri nanti.

Aktivisme Mahasiswa sendu?

Advertisement

Beberapa kritikan kepada gerakan, organisasi mahasiswa mula muncul ketika dunia berhadapan dengan Covid 19. Ada yang mendakwa pemimpin mahasiswa mula hilang arah tuju, lesap dari dunia aktivisme dan tidak kritis terhadap keadaan semasa. Saya memiliki pandangan berbeza.

Setiap pergerakan, perancangan perlu mengikut kesesuaian keadaan dan keadaan semasa. Jika sebelum ini jika mahasiswa tidak bersetuju dengan kerajaan, maka mereka turun ke jalanan. COVID-19 telah membawa kita untuk membuka kembali kamus aktivisme dan memberi semula definisi aktivisme mahasiswa.

Aktivisme mahasiswa yang wujud sekarang tidak perlu mengikut rentak dan gaya kebangkitan mahasiswa terdahulu. Ia perlu mempunyai identiti dan kualitinya yang tersendiri. Sudah tentu realiti dan dinamika yang dilalui mahasiswa pada hari ini adalah berbeza dengan yang terdahulu.

Advertisement

Di dalam wabak pandemik ini, kesemua gerakan mahasiswa mula mengubah corak aktivisme mereka.

Kiblat beraktivisme demi agenda kepentingan gerakan masing-masing perlu segera diubah ke agenda memperkasakan kebajikan mahasiswa secara holistik.

Kita boleh lihat pelbagai inisiatif direncana tanpa henti oleh persatuan dan gerakan mahasiswa untuk membantu mahasiswa sepanjang tempoh yang sukar ini. Usaha ini merupakan manifestasi bahawa mahasiswa sendiri sedar akan tanggungjawab yang perlu digalas bersama untuk membantu mahasiswa yang terkesan dari sudut ekonomi dan kebajikan.

Advertisement

Bermula daripada Kesatuan Pelajar sehinggalah ke gerakan-gerakan indie, masing masing menggerakkan inisiatif seperti pemberian laptop dan foodbank untuk membantu mahasiswa.

Tanda pagar #MahasiswaJagaMahasiswa yang terpahat di media massa saban hari adalah bukti kesatuan dan kesepakatan mahasiswa dalam tempoh yang serba rencam ini.

Selain daripada itu, pandemik COVID-19 ini telah menjadikan kita semua lebih banyak bergantung kepada alat digital untuk berkomunikasi. Keterhadan pergerakan fizikal menyebabkan tiada lagi aksi seperti demonstrasi, tunjuk perasaan atau mogok dilancarkan di negara kita. Namun dengan adanya teknologi, aktivisme melalui pendekatan baharu dapat dilaksanakan sehingga menjadi kritikal dan kekal diperjuangkan.

Advertisement

Di universiti ruang perbincangan di peringkat pembuatan polisi mula dibuka secara efektif kepada wakil mahasiswa untuk memberi saluran kepada mahasiswa dalam mengkritik polisi universiti atau memberi cadangan. UIAM antara universiti yang progresif dalam memperkukuhkan hubungan di antara kesatuan pelajar dan pentadbiran.

Kesemua ruang perbincangan ini digunakan sebaiknya oleh pihak Kesatuan untuk membentangkan kegusaran dan keresahan pelajar dalam beberapa isu.

Menerusi mesyuarat ini mahasiswa dilatih untuk bersikap kritis dan analitikal dalam membentangkan isu terkait mahasiswa. Selalunya sebelum setiap perbincangan dilakukan, pihak Kesatuan akan membuka tinjauan secara terperinci tentang pandangan dan ‘mood’ mahasiswa. Setelah itu akan disimpul dan diekstrak dalam bentuk analisis untuk dibentangkan di hadapan pentadbiran.

Advertisement

Sebagai contoh isu penurunan yuran 2020, Kesatuan Mahasiswa telah melakukan tinjauan terperinci berkenaan pandangan dan sokongan mahasiswa, kemudian dibentangkan dan didebatkan di dalam UMC (University Management Committee) dan akhirnya diluluskan.

Signifikannya data dan analisis ini adalah untuk memperkukuhkan hujah dan penerangan wakil mahasiswa di dalam ruang pembuatan keputusan dan membuktikan suara keramat mahasiswa ini perlu dilihat dan diambil tindakan bukan setakat ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’.

Ini juga membuktikan nilai dan budaya aktivisme mula berubah coraknya namun asas dan kefahaman itu tetap sama.

Advertisement

Dengan keadaan yang penuh mehnah ini, universiti wajar berperanan membantu mahasiswa dalam melalui fasa kritikal ini. Kerjasama dua hala di antara mahasiswa dan pentadbiran perlu diwujudkan dengan utuh dalam musim yang mencabar ini. Kita mahukan mahasiswa yang menjadi graduan dilahirkan umpama ‘benih yang baik, dicampak ke darat menjadi bukti, dicampak ke laut menjadi pulau’.

Peranan universiti bukan sekadar mengeluarkan graduan, lebih penting melahirkan graduan yang bermanfaat kepada masyarakat. Peranan masyarakat pula memberi sokongan jitu kepada mahasiswa dan graduan bukan menghidupkan persepsi negatif kepada mahasiswa. Zaman tetap berubah namun semangat dan prinsip dalam diri mahasiswa kekal utuh.

Muhammad Amin Mubarak merupakan Exco Perhubungan Awam dan Advokasi Kesatuan Pelajar UIAM

Advertisement

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top