Oleh: Hassan Karim
Telah berlaku pergelutan politik yang hebat sejak pilihanraya raya umum ke-14, 9 Mei 2018 hingga ke bulan kemerdekaan, Ogos 2021. Tiga orang Perdana Menteri telah dilantik setelah dua orang meletak jawatan. Tiga buah kerajaan telah terbentuk, selepas dua buah kerajaan tumbang.
Perkara itu berlaku ada hikmahnya. Tidak sia-sia. Kita dapat menyaksikan konvensyen sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Malaysia berperanan dan berkembang mengisi ruang-ruang kosong di mana terdapat kelompangan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sekarang telah wujud konvensyen yang diterima di mata umum dan perundangan Perlembagaan iaitu penentuan majoriti sokongan kepercayaan seseorang calon Perdana Menteri boleh ditentukan terlebih dahulu oleh Yang di-Pertuan Agong di luar Parlimen melalui Surat Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) atau SD.
Konvensyen tersebut diperluaskan lagi iaitu pengesahan keabsahan (legitimacy) sokongan kepercayaan itu bagaimanapun mesti dilakukan secara rasmi di Dewan Rakyat.
Sebagai contoh, pelantikan Ismail Sabri bin Yacob sebagai Perdana Menteri ke-9 oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan adalah di bawah kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong yang menjadi simbol raja berperlembagaan.
Manakala pengesahan keabsahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob dan kabinetnya di Dewan Rakyat pada sidang parlimen September nanti menunjukkan pengiktirafan peranan kuasa Dewan Rakyat di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Dewan Rakyat yang merupakan salah satu tunggak di dalam Parlimen Malaysia adalah lambang kuasa rakyat yang diwakili oleh 222 orang ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat melalui suatu pilihanraya umum.
Hassan Abdul Karim merupakan ahli parlimen Pasir Gudang