BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal menyakiti hati masyarakat Cina dan India

wan-ahmad-fayhsal-1.jpg

Gambar Ehsan The Malay Mail

Oleh: Tan Chen Choon

Kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal yang berpendirian bahawa sekolah aliran SJKC dan SJKT harus dimansuhkan secara berperingkat adalah ternyata bercanggah dengan Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa : “tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain”.

Akta Hasutan 1948 menyatakan bahawa sesiapa yang mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf,kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan adalah mengandungi unsur-unsur kecenderungan menghasut dan boleh didakwa.

Justeru, kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang mempersoalkan perkara tersebut dengan kenyataan untuk memansuhkan sekolah aliran SJKC dan SJKT mungkin telah melanggar Akta Hasutan 1948 dan Pihak PDRM seharusnya menjalankan siasatan.

Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal mengatakan bahawa beliau mengetahui Menteri Pendidikan mesti menubuhkan sekolah aliran SJKT dan SJKT di bawah Akta Pendidikan 1996 dan mempastikan operasinya berfungsi. Akan tetapi, mengapa beliau masih mempersoalkan kedudukan SJKC dan SJKT ? Bukankah sangat jelas bahawa kenyataan beliau telah bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 dan semata-mata untuk mengait kepentingan politik.

Wan Ahmad Fayhsal menyatakan bahawa murid-murid yang belajar di sekolah aliran SJKC dan SJKT tidak dapat memupuk semangat nasionalisme, adalah langsung tidak berasas. Ini adalah kerana sekolah aliran SJKC dan SJKT mengikut sepenuhnya isi kandungan pengajaran dan kurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

Adakah Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan bahawa kandungan pengajaran dan kurikulum yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan tidak dapat memupuk semangat kecintaan negara dan nasionalisme ?

Wan Ahmad Fayhsal mengatakan beliau menerima kepelbagaian dan Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk adalah satu keunikan dan kekuatan, dan seharusnya ada persamaan di samping perbezaan yang wujud.

Sebenarnya, amalan budaya saling menghormati antara satu sama lain di antara rakyat kita yang berbilang kaum adalah asas kepelbagaian yang membawa keharmonian di antara sesama kita.

Dalam mana apa-apa juga jenis masyarakat, majoriti tidak seharusnya menggunakan naratif berbau hegemonik atau memaksa minoriti agar menerima nilai-nilai daripada majoriti.

Sebaliknya, pelbagai kaum di negara kita bukan sahaja perlu ada titik persamaan di samping perbezaan latar belakang, tetapi juga perlu menghormati perbezaan/kepelbagaian di antara sesama kita.

Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal memansuhkan sekolah aliran SJKC dan SJKT secara berperingkat telah menyakiti perasaan kaum lain, beliau seharusnya insaf dan menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada masyarakat Tionghua dan kaum India.

Tan Chen Choon merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi kawasan Jementah

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top