BM | EN | 中文

[PANDANGAN] “Jadilah kawan sebenar, bukan musuh dalam selimut”

Umno-Bersatu.jpeg

Oleh: Razrul Anwar Rusli

Untuk orang-orang Melayu bersatu di Malaysia, adalah impian pemimpin terdahulu dan kita semua. Kita tidak mampu untuk berpecah walaupun kita adalah majoriti di dalam negara. Perikatan Nasional adalah satu jenama yang segar dalam membentuk penyatuan yang terbaik masa kini untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dan kaum-kaum pribumi di dalam negara.

Namun, melihat kepada siri-siri sindiran, komen terbuka terhadap Perikatan Nasional dan khususnya kepada parti BERSATU, ia adalah suatu perkara yang boleh menggagalkan penyatuan bangsa.

Rakyat bersyukur, negara kini di atas landasan yang baik di mana segala cabaran disebabkan wabak global ditangani dengan jayanya oleh ABAH dan jemaahnya. Dunia mengiktiraf. Rakyat tidak gelisah. Tetapi kenyataan sinis beberapa individu yang dilihat tidak mahu kepada ‘penyatuan orang Melayu’ adalah akhlak buruk yang mesti ditolak .

Jangan lupa peranan BERSATU, kami sayangkan perpaduan dan rasa sayang inilah yang membuka jalan untuk inisiatif permuafakatan perikatan secara rasmi. Supaya orang-orang Melayu dan Pribumi lebih kukuh kuasa politik mereka berbanding pemerintahan sebelum ini.

Selepas Pilihanraya Umum ke-14, geopolitik negara sudah berubah, rakyat boleh menilai ahli-ahli politik, ahli politik semakin berani dalam hujah dan penyebaran propraganda secara cepat. Budaya politik mengampu dan mengipas wajib dimatikan.

Budaya mengkritik berdasarkan analisa dan data harus menjadi norma baru dalam politik negara kita dan segala kritikan-kritikan dari kawan-kawan sepatutnya untuk membina bukan meroboh.

Yang lama telah berjasa, yang baru sedang menabur jasa. Apabila kita bersatu, lebih besar manfaatnya kepada rakyat jelata. Lebih-lebih lagi kita berada di bawah satu negeri yang sama di mana bermulanya dua parti berpengaruh negara, UMNO dan BERSATU Johor Darul Takzim.

Saya berimpian untuk mengajak Datuk Nur Jazlan, Mohd Puad Zarkashi dan lain-lain yang sering bersuara sinis agar duduk bersama menjayakan program-program merapatkan silaturrahim antara parti-parti Melayu dan menyatupadukan orang-orang Melayu di negeri ini.

Saya percaya bukan sahaja rakyat akan menyambut baik langkah politik era baru ini, bahkan seruan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan Johor, akan menjadi kenyataan untuk kita hidup bersatu-padu di dalam negeri ini.

Ceramah Isham Jalil yang dilihat menyerang Abah di Pagoh, kita boleh menilai dari dua sudut. Jika kita marah pada ucapan beliau, kita boleh kecewa kerana secara terbuka mengkritik ‘kawan’.

Pandangan kedua, saya suka berjiwa besar dan melihat dari sudut yang positif. Kajian beliau sendiri di Pagoh itu, kita boleh bersama-sama memperbaiki kekurangan yang ada. Tiada yang mustahil dalam politik. Boleh menang dan kalah. Tiada siapa yang maksum. Jadi kita perlu mengambil langkah terbaik dari sekarang untuk memastikan Pagoh menang untuk Perikatan Nasional.

Perikatan Nasional punyai kekuatan Abah dan jenama politik yang segar. Pemimpin-pemimpin Melayu perlu berganding bahu bersama ‘kawan-kawan’ mencari jalan supaya terus berusaha di dalam menyatukan orang-orang Melayu dan Pribumi. Inilah jihad kita. Inilah masanya.

BERSATU Johor Bahru melihat siri-siri kenyataan pedas ini bukan sebagai ancaman. Kita melihat ini sebagai suatu kesedaran dan perlu berusaha secara ikhlas mencari titik persamaan.

Kita yakin mereka juga mahukan perpaduan dan tidak mahu menjadi musuh dalam selimut. Perpaduan yang begitu lama diidamkan rakyat. Bukan sahaja orang Melayu, bangsa-bangsa lain juga mahukan orang-orang Melayu bersatu padu supaya negara stabil dan kemajuan dapat diteruskan.

Saya memohon jangan ada yang cuba gagalkan. Jangan ada kawan-kawan kita mencuri selimut demi untuk diri sendiri. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Razrul Anwar Rusli
Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top