BM | EN | 中文

[PANDANGAN] Isu Bukit Payong dan sekitar lawatan MP Sri Gading ke tapak pelupusan sampah

Bukit-Payong-lawatan-MP-Sri-Gading-ke-tapak-cadangan-pelupusan-sampah.jpg
Advertisement

Oleh: Iltizam Iman

Pilihanraya telah dekat. Ahli politik sudah memulakan kerja-kerja mereka. Disini kita mungkin tidak akan terlepas dari sifat orang politik yang opurtunistik, kerana politik adalah sebuah medan yang penuh dengan strategi-strategi licik.

Tetapi bagi seorang ahli politik, sememangnya itu kewajipan yang harus dilakukan. Dia sebagai ahli politik, harus mengambil peduli masalah-masalah yang ada di dalam kawasannya.

Advertisement

Sebagai masyarakat, tugas kita bukanlah untuk memuja-muja ahli politik yang mahu datang membantu. Ahli politik tidak perlu dijamu-jamu dengan sebarang bentuk keenakan seperti dahulu di mana orang kampung harus bergotong royong semata untuk menyambut lawatan orang politik. Ini adalah kesilapan besar orang-orang sebelum ini yang menyebabkan orang politik “naik lemak”.

Tidak perlu mengambil hati mereka dengan agar masalah masyarakat dapat diperdengarkan di Dewan Rakyat. Cukup sekadar menyambut dan meraikan mereka dengan baik.

Ahli politik, fungsinya juga sama seperti masyarakat lain yang ada peranannya tersendiri. Tidak lebih dan tidak kurang, sama sedarjat. Mereka juga ahli masyarakat yang sama-sama berperanan untuk memastikan pengurusan masyarakat di tempatnya berjalan lancar. Jika mereka datang ingin membantu, maka masyarakat wajiblah sama-sama mengemukakan segala permasalahan yang ada di sekitar.

Advertisement

Jika masyarakat tidak terlebih dahulu mengambil peduli masalah-masalah setempatnya, jika masyarakat tidak menjalankan kewajiban mereka, nescaya wakil rakyat juga tidak akan mampu menjalankan tugas mereka. Disini, hubungan antara masyarakat dengan ahli politik tidak lebih dari jalinan kerjasama. Masing-masing buat kerja masing-masing, tidak perlu berbasa-basi untuk mengambil hati sana-sini.

Pada 15 Ogos 2020, seawal jam 8.30 pagi Datuk Sahruddin Salleh telah sampai di kampung berdekatan Bukit Payong, satu sikap yang bagus ditunjukkan sebagai ahli politik. Tidak melengah-lengahkan waktu, tepat pada waktu seperti yang dijanjikan. Satu perkara yang harus dicontohi ahli politik dan badan kerajaan yang lain, terutamanya yang sering buat orang kampung tertunggu-tunggu sewaktu hari lawatan.

Lawatan pertama kami bermula di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Payong yang masih dalam pembinaan. Keadaan di tapak pembinaan itu teramatlah gersang, dipenuhi lori-lori “hantu” yang keluar masuk. Perbalahan juga terjadi di antara penduduk dengan kontraktor tapak pelupusan yang mungkin berpangkat pengurus projek. Perbalahan terjadi disebabkan pengurus projek tidak membenarkan kami masuk, sedangkan kebenaran telah kami terima di depan pintuk masuk.

Advertisement

Tujuan utama lawatan adalah untuk melihat sendiri air terjun Parit Purun yang menjadi sumber air utama bagi sektor pertanian di sekitar Bukit Payong. Di dalam laporan DEIA, tali air dari Parit Purun ini akan digunakan sebagai pusat takungan air sampah yang telah dirawat. Pertanian yang ada di sekitar tapak pelupusan akan diberi pampasan ganti rugi oleh kerajaan, dan harus mencari alternatif sumber air yang lain, seperti membeli dari Syarikat Air Johor (SAJ).

Deras aliran air yang jatuh menjunam di air terjun Parit Puron ini kelihatan sangat menyegarkan, jernih dan sejuk. Tetapi yang amat memilukan, keadaan persekitaran langsung tidak merespon kepada tapak rekreasi semula jadi ini.

Sepatutnya air terjun ini boleh dijadikan tumpuan para pendaki, untuk menyegarkan diri selepas penat mendaki; tetapi sayangnya sekitar air terjun ini tidak lagi sesuai untuk dijadikan tapak rekreasi kerana telah penuh dikelilingi kelapa sawit. Walaupun kelapa sawit di sini bukanlah disebabkan oleh tindakan kerajaan, tetapi ianya memperlihatkan kelemahan kerajaan negeri dalam mengurus dan memanfaat potensi-potensi semula jadi yang ada.

Advertisement

Sebelum ini, kolam takungan semula jadi air terjun ini boleh digunakan untuk bermandi-manda, tetapi telah tertimbus tanah-tanah merah yang jatuh sewaktu hujan lebat. Airnya sudah menjadi cetek, kira-kira separas betis, walaupun air terjunnya masih mengalir deras. Lebih menyakitkan, paras air yang dahulunya dalam, ruangnya luas, boleh digunakan untuk berenang-renang, kini telah tertimbus mati oleh tanah-tanah merah. Hanya tinggal aliran kecil yang membawa air turun ke bawah. Tertimbusnya kolam takungan semula jadi ini telah mengakibatkan air terjun ini kering-kontang sewaktu musim panas.

Setelah melihat sendiri keadaan tapak di Bukit Payong dan keadaan air terjun Parit Puron, kami semua bergerak menuju warong berdekatan untuk berbincang, mengeteh dan mengopi, juga untuk mendengar sepatah dua kata dari pandangan Datuk Sahruddin berkenaan projek smpah ini. Beliau berjanji akan membangkitkan persoalan ini ke pihak atasan. Pembinaan projek dah berjalan begitu jauh, kata Datuk Sahruddin yang agak terkejut setelah melihat keadaan sebenar.

Menteri Besar sebelum ini, Datuk Osman Sapian telah menyuarakan perkara ini. Waktu itu seluruh kementerian kerajaan telah bersetuju untuk menangguh dan memindahkan projek sampah, pampasan ganti rugi juga telah dipersetujui untuk diberikan kepada kontraktor. Tetapi apabila kedudukan MB bertukar tangan kepada Datuk Sahruddin Jamal, keputusan tersebut ditarik semula dan projek diteruskan.

Advertisement

Sedang Datuk Sahruddin berbincang-bincang dengan ketua-ketua kampung dan penduduk, kebetulan ada sebuah lori sampah yang lalu. Terus kami mengambil ia sebagai testimoni nyata, keadaan apabila sejumlah besar lori sampah keluar-masuk di jalan kecil ini. Bau sampah yang dibawa lori tersebut sangatlah menyengat hidung, aroma air sampah merebak ke setiap pelusuk warong. Dan saat itu bukanlah waktu yang sesuai untuk mengunyah makanan atau menghirup air.

Kira-kira satu jam kami di situ, hanya satu lori itu saja yang lalu. Tetapi jika tapak pelupusan sampah ini mula beroperasi nanti, yang mana akan memuatkan 160,000 tan sampah sehari, nescaya anggaran kekerapan lori sampah yang lalu di sini adalah setiap 10 minit pada setiap hari. Ini akan menjejaskan ramai peniaga dan risiko makanan dan minuman yang dijual akan tercemar.

Sekarang ini, semasa tapak pelupusan masih belum beroperasi, keadaan trafik lalu-lintas sudah teramat sesak dengan lori-lori besar. Statistik kemalangan yang berlaku di sini tinggi, jika tiada pertimbangan pihak kerajaan tentang perkara ini maka statistik kemalangan ini pasti akan meningkat drastik.

Advertisement

Menurut Datuk Sahruddin lagi, jika tapak pelupusan sampah Bukit Payong ini akan memuatkan sampah dari seluruh Johor Utara, bermakna bukan laluan kecil Yong Peng – Parit Sulong ini saja yang akan terkesan. Ayer Hitam (Batu Pahat), Parit Raja, Sri Medan, Simpang Renggam, Air Hitam (Muar) dan beberapa kawasan lagi akan berhadapan dengan keadaan trafik yang tinggi pada setiap hari disebabkan oleh lori sampah.

Pesanan beliau kepada penduduk, kita boleh beranggapan negatif atau positif tentang perkara ini, tetapi yang seeloknya adalah kita mendapatkan penjelasan dari pihak kementerian.

Penduduk harus benar-benar diberi penjelasan, kesan apa sebenarnya yang bakal menimpa? Adakah pencemaran semata-mata? Apakah manfaat yang penduduk akan terima? Adakah penduduk di sini bakal diberikan elektrik percuma? Selain dari itu, adakah manfaat-manfaat yang lain?

Advertisement

Sebenarnya, penduduk telah lama menuntut perkara ini diperjelaskan oleh pihak kerajaan dengan seterangnya. Tapi entah kenapa, terlalu berat mulut pihak kerajaan untuk menjelaskan masalah ini. Terlalu susah bagi pihak kerajaan untuk memutuskan sesuatu yang memihak kepada masyarakat, sehingga masyarakat sendiri terpaksa mengambil tindakan undang-undang untuk melawan kerajaan sendiri.

Pada 29 Julai lepas, Datuk Sahruddin Salleh telah menyuarakan isu Bukit Payong ini semasa sesi perbahasan Dewan Rakyat. Jadi untuk lawatan kali ini, semoga ianya bukanlah seperti pelawat-pelawat politik 10 tahun yang sudah.

Walaupun mencari sokongan dan undi itu adalah sebahagian kerja orang politik, seperti Datuk Sahruddin, kita sebagai masyarakat tetap akan memberikan kerjasama.

Advertisement

Tetapi bukan bermaksud kita percaya. Jika beliau benar-benar mahu membantu, tunjukkanlah dengan aksi yang konsisten. Jangan membuang masa orang kampung.

Iltizam Iman merupakan penulis yang berasal dari Batu Pahat, Johor. Beliau telah menerbitkan sebuah buku berjudul “Menolak Perintah : Catatan dan Esei Mencari Nafas Pembebasan”.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JohorKini

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top